Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan November 2021
Inflasi keseluruhan meningkat kepada 3.3% pada bulan November
- Inflasi keseluruhan meningkat kepada 3.3% pada bulan November (Oktober: 2.9%), mencerminkan terutamanya inflasi yang lebih tinggi dalam segmen makanan dan minuman bukan alkohol (November: 2.7%; Oktober: 1.9%) dan pengangkutan (November: 12.7%; Oktober: 11.3%).
- Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras[1], turut meningkat kepada 0.9% pada bulan itu (Oktober: 0.7%), didorong terutamanya oleh barangan budi bicara (discretionary items) (cth. makanan di luar rumah), sejajar dengan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.
IPI mencatatkan pertumbuhan lebih pantas sebanyak 5.5% pada bulan Oktober
- IPI keseluruhan mencatatkan pertumbuhan yang lebih pantas sebanyak 5.5% pada bulan Oktober, didorong oleh pemulihan yang kukuh dalam aktiviti perkilangan dan penjanaan elektrik.
- Pemulihan aktiviti perkilangan ini didorong terutamanya oleh sektor berorientasikan dalam negeri (seperti makanan dan pengangkutan), yang mencatatkan pemulihan yang menyeluruh berikutan pembukaan semula ekonomi. Sementara itu, pengeluaran eksport kekal kukuh.
Pertumbuhan pembiayaan bersih terus meningkat
- Pertumbuhan pembiayaan bersih[2] meningkat kepada 4.4% (Oktober: 4.0%), didorong oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi (November: 4.3%; Oktober: 3.3%), manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul menjadi sederhana (November: 4.8%; Oktober: 5.9%).
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat kepada 4.1% (Oktober: 3.7%), berikutan pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi untuk perbelanjaan kad kredit serta pembelian harta kediaman dan kereta penumpang.
- Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat kepada 4.8% (Oktober: 3.1%), berikutan pertumbuhan pinjaman modal kerja terkumpul yang berterusan (November: 8.0%; Oktober: 5.9%)
Pasaran kewangan domestik terjejas akibat kebimbangan berhubung dengan varian Omicron
- Pada akhir bulan November, sentimen pelabur global didorong terutamanya oleh kemunculan varian baharu, iaitu Omicron, yang mengatasi kebimbangan berhubung dengan tekanan inflasi yang berterusan dalam ekonomi maju.
- Akibatnya, kadar hasil bon global, termasuk penanda aras kadar hasil MGS 10 tahun, menurun serentak dengan penurunan kadar hasil US Treasury jangka panjang.
- FBM KLCI menurun sebanyak 3.1% dan ringgit menyusut nilai sebanyak 2.0%, berbanding dengan dolar AS, selaras dengan kebanyakan mata wang serantau. Harga komoditi yang lebih lemah berikutan kebimbangan berhubung dengan varian baharu turut menjejaskan kadar pertukaran ringgit.
Permodalan sistem perbankan kekal kukuh
- Bank-bank terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh bagi menghadapi tekanan yang mungkin berlaku dan menyokong pertumbuhan kredit dalam ekonomi.
- Lebihan penampan modal[3] sistem perbankan kekal kukuh pada RM122.3 bilion pada bulan November 2021.
Kualiti aset sistem perbankan kekal utuh
- Bank-bank terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam berdaya maju yang menghadapi kesukaran kewangan sementara.
- Meskipun nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan pada amnya kekal stabil pada 1.5% dan 0.9%, jumlah pinjaman terjejas mencatatkan penurunan yang sedikit (-2.1%) berbanding dengan bulan sebelumnya.
- Jumlah peruntukan yang disediakan bagi menghadapi kemungkinan kerugian kredit pada masa ini berada pada 1.9% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir. Pengiraan juga tidak termasuk anggaran kesan langsung perubahan dasar cukai.
[2] Merujuk pinjaman terkumpul sistem perbankan (tidak termasuk institusi kewangan pembangunan (IKP)) dan bon korporat terkumpul.
[3] Merujuk jumlah modal yang melebihi tahap pengawalseliaan minimum, yang meliputi keperluan
penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi
Lihat Sorotan Bulanan [PDF]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.