Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan November 2022

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Jumaat, 30 Disember 2022
30 Dis 2022 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan kekal stabil pada 4.0% pada bulan November

  • Inflasi keseluruhan kekal stabil pada 4.0% pada bulan November (Oktober: 4.0%) apabila peningkatan inflasi teras diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah dalam kategori lain, iaitu bahan api dan makanan segar.
  • Inflasi teras meningkat sedikit kepada 4.2% (Oktober: 4.1%) disebabkan terutamanya oleh peningkatan harga makanan di luar rumah.

Pertumbuhan pengeluaran perkilangan berterusan pada bulan Oktober 2022

  • IPI perkilangan berkembang sebanyak 4.2% pada bulan Oktober 2022.
  • Pertumbuhan didorong terutamanya oleh kelompok E&E yang mencatatkan pertumbuhan melebihi purata pada 8.7% (purata 2016-2019: 6.2%).
  • Kelompok utama, terutamanya pengeluaran produk petroleum bertapis, juga menyokong pertumbuhan apabila operasi di loji penapisan minyak sedia ada disambung semula selepas diselenggara.

Pembiayaan bersih menjadi sederhana apabila bayaran balik pinjaman mengatasi pengeluaran pinjaman

  • Pembiayaan bersih meningkat 4.7% pada akhir bulan November (Oktober: 5.7%), mencerminkan pertumbuhan yang lebih rendah dalam pinjaman terkumpul (5.5%; Oktober: 6.5%) dan bon korporat (2.6%; Oktober: 3.6%)
  • Pertumbuhan pinjaman isi rumah menjadi sederhana kepada 6.0% (Oktober: 6.3%) apabila pertumbuhan bayaran balik pinjaman mengatasi pertumbuhan pengeluaran pinjaman merentas tujuan pinjaman utama.
  • Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul menjadi sederhana kepada 3.4% (Oktober: 5.2%), disebabkan terutamanya oleh pembayaran balik dalam kalangan syarikat besar. Pengeluaran pinjaman terus mencatatkan pertumbuhan dua angka (13.7%; Oktober: 13.4%), meskipun pertumbuhan agak sederhana dalam sektor perkilangan pengguna dan harta tanah.

Keadaan kewangan domestik menjadi reda berikutan sentimen pelabur yang bertambah baik

  • Keadaan kewangan global menjadi reda susulan jangkaan kadar dasar monetari akan menjadi ketat pada kadar yang lebih perlahan apabila inflasi terus menunjukkan tanda akan mencapai paras tertinggi, terutamanya di AS. Sekatan berhubung dengan COVID-19 di China yang semakin longgar turut menyokong sentimen risiko pelabur secara keseluruhan.
  • Kesannya, keadaan kewangan domestik menjadi reda, dengan kadar hasil MGS 10 tahun berkurang sebanyak 26.0 mata asas (purata serantau: -44.4 mata asas) dan FBM KLCI meningkat sebanyak 1.9%
    (purata serantau*: +5.2%). Prestasi pasaran kewangan juga disokong oleh keadaan politik yang semakin stabil berikutan pembentukan Kerajaan baharu.
  • Ringgit menambah nilai sebanyak 6.3% berbanding dengan dolar AS, sejajar dengan penambahan nilai secara meluas dalam mata wang utama dan serantau* (purata: +4.5%) berbanding dengan dolar AS.

Bank-bank mengekalkan kedudukan mudah tunai dan pendanaan yang kukuh untuk menyokong pengantaraan

  • Sistem perbankan terus mengekalkan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai yang kukuh. Bank-bank menguruskan penampan secara proaktif bagi menangani ketidaktentuan bermusim mudah tunai sistem perbankan pada akhir tahun dan terus menyokong pengantaraan.
  • Nisbah pinjaman kepada dana agregat sebahagian besarnya kekal stabil pada 82.3% (Oktober: 82.0%).

Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan kekal tidak berubah masing-masing pada 1.8% (Oktober: 1.8%) dan 1.1% (Oktober: 1.1%).
  • Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab kawal selia) terus mencatatkan tahap berhemat sebanyak 116.5% daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.8% daripada jumlah pinjaman.

 

Sorotan Bulanan [PDF]


 

*Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea


Bank Negara Malaysia
30 Disember 2022

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?