Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan November 2023
Inflasi keseluruhan menurun kepada 1.5% pada bulan November
- Inflasi keseluruhan terus menurun kepada 1.5% pada bulan November (Oktober 2023: 1.8%), didorong oleh inflasi yang lebih rendah bagi inflasi teras[1] (2.0%; Oktober 2023: 2.4%) dan inflasi makanan segar (0.1%; Oktober 2023: 1.2%).
- Yang ketara, inflasi teras yang lebih rendah didorong sebahagian besarnya oleh makanan di luar rumah (3.9%; Oktober 2023: 5.6%).
Pengeluaran perkilangan meningkat sebanyak 0.9% pada bulan Oktober 2023
- Indeks pengeluaran perindustrian (IPI) perkilangan meningkat sebanyak 0.9% secara tahunan pada bulan Oktober 2023 (September 2023: 0.4%), disokong oleh kelompok sektor berasaskan dalam negeri yang terus bertambah baik, terutamanya kelengkapan pengangkutan serta makanan, minuman dan tembakau.
- Peningkatan ini lebih daripada mengimbangi pertumbuhan kelompok berorientasikan eksport yang terus lemah berikutan pengeluaran komponen semikonduktor yang lebih rendah dan penyelenggaraan loji penapisan minyak yang digerakkan semula secara beransur-ansur.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan[2],[3] yang lebih tinggi
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 4.6% pada akhir bulan November (Oktober 2023: 4.2%), didorong terutamanya oleh peningkatan kredit kepada perniagaan yang lebih tinggi (3.5%; Oktober 2023: 2.8%).
- Pinjaman perniagaan terkumpul berkembang sebanyak 2.6% (Oktober 2023: 1.1%), disokong oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih tinggi. Yang ketara, pertumbuhan pinjaman terkumpul kepada PKS kekal menggalakkan (7.9%; Oktober 2023: 7.2%). Sementara itu, pertumbuhan bon korporat terkumpul berkurang sedikit kepada 4.6% (Oktober 2023: 5.0%).
- Pertumbuhan pinjaman terkumpul bagi isi rumah adalah stabil (5.7%; Oktober 2023: 5.6%), disokong oleh pertumbuhan yang mampan bagi kebanyakan tujuan pinjaman. Pertumbuhan pinjaman isi rumah terus didorong oleh pinjaman untuk pembelian rumah dan kenderaan, masing-masing meningkat sebanyak 7.6% dan 9.4%, (Oktober 2023: 7.6% dan 9.1%).
Pasaran kewangan domestik terus dipengaruhi oleh sentimen pelabur global
- Keadaan pasaran global didorong oleh jangkaan pasaran kewangan bahawa kadar faedah di negara maju telah mencapai tahap tertinggi. Mencerminkan sentimen pelabur ini, kadar hasil bon global menurun manakala pasaran ekuiti global didagangkan dengan lebih tinggi.
- Berlatarkan keadaan ini, ringgit menambah nilai sebanyak 2.4% berbanding dengan dolar AS (purata serantau[4]: +3.2%), manakala kadar hasil MGS 10 tahun menurun sebanyak 30 mata asas (purata serantau4: -49 mata asas) berikutan aliran masuk dana bukan pemastautin ke dalam pasaran bon domestik.
- FBM KLCI juga didagangkan lebih tinggi sebanyak 0.7%, sejajar dengan pasaran saham lain (purata serantau4: 3.3%).
Permodalan sistem perbankan kekal kukuh untuk menyokong pertumbuhan ekonomi
- Kedudukan modal bank-bank kekal kukuh bagi menghadapi kemungkinan kejutan serta menyokong pertumbuhan kredit pengantaraan dalam ekonomi.
- Sistem perbankan mencatatkan lebihan penampan modal[5] sebanyak RM134.1 bilion pada bulan November 2023 (Oktober 2023: RM132.9 bilion).
Daya tahan sistem perbankan terus disokong oleh kualiti aset yang mantap
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan sebahagian besarnya kekal stabil, masing-masing pada 1.7% dan 1.0%.
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal pada tahap berhemat sebanyak 119.7% daripada pinjaman terjejas dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.6% daripada jumlah pinjaman.
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Terdiri daripada pinjaman kepada isi rumah dan syarikat bukan kewangan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) serta bon korporat yang diterbitkan oleh syarikat bukan kewangan (termasuk kertas jangka pendek).
[3] Mulai penerbitan Sorotan dan Perangkaan Bulanan (Monthly Highlights and Statistics, MHS) bulan Disember 2022, siri ini diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti data pembiayaan. Siri data baharu ini tersedia dalam Jadual 2.18 MHS.
[4] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.
[5] Merujuk jumlah modal melebihi tahap pengawalseliaan minimum, yang meliputi keperluan penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi.
Sorotan Bulanan [PDF]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.