Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Ogos 2021

30 Sep 2021 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan menurun kepada 2.0% pada bulan Ogos

  • Inflasi keseluruhan menurun kepada 2.0% pada bulan Ogos (Julai: 2.2%), mencerminkan terutamanya inflasi yang lebih rendah masing-masing dalam kategori pengangkutan (Ogos: 11.0%; Julai: 11.6%) serta pelbagai barangan dan perkhidmatan (Ogos: -0.6%; Julai: 0.1%).
  • Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, menjadi sederhana kepada 0.6% pada bulan itu (Julai: 0.7%).

Pertumbuhan eksport kukuh pada bulan Ogos

  • Eksport meningkat sebanyak 18.4% (Julai: 5.0%), mencerminkan kekukuhan yang berterusan merentas keluaran dan pasaran.
  • Pada masa hadapan, prestasi eksport akan terus disokong oleh permintaan luaran dan peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan. Selain itu, permintaan yang kukuh terhadap keluaran perkilangan bukan E&E dan harga komoditi yang lebih tinggi akan memberikan dorongan kepada pertumbuhan eksport.
  • Walau bagaimanapun, prospek perdagangan terus bergantung pada perkembangan yang berkaitan dengan pandemik COVID-19 dan kekukuhan pertumbuhan global.

Pertumbuhan pembiayaan bersih menjadi sederhana

  • Pertumbuhan pembiayaan bersih menjadi sederhana kepada 3.6% (Julai: 4.1%) disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih rendah (Ogos: 2.5%; Julai: 3.1%). Hal ini mencerminkan kegiatan ekonomi yang lebih perlahan akibat sekatan pergerakan. Pertumbuhan bon korporat terkumpul kekal stabil (Ogos: 6.4%; Julai: 6.5%).
  • Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul terus sederhana (Ogos: 3.4%; Julai: 4.2%). Walau bagaimanapun, pengeluaran pinjaman lebih tinggi terutamanya untuk kereta penumpang dan harta kediaman berikutan pelonggaran secara beransur-ansur beberapa sekatan pergerakan.
  • Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul menjadi sederhana kepada 0.8% (Julai: 1.3%), apabila pertumbuhan bayaran balik pinjaman mengatasi pertumbuhan pengeluaran pinjaman.

Pasaran kewangan domestik kekal stabil pada bulan Ogos

  • Pada bulan Ogos, prestasi pasaran kewangan domestik didorong oleh perkembangan global dan dalam negeri.
  • FBM KLCI meningkat sebanyak 7.1% berikutan laporan perolehan syarikat yang menggalakkan dan sentimen pelabur yang bertambah baik disebabkan oleh pelonggaran langkah-langkah pembendungan COVID-19 di dalam negeri.
  • Kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sedikit. Peningkatan ini mencerminkan limpahan daripada kenaikan  kadar hasil US Treasury jangka panjang yang berlaku terutamanya antara 4 hingga 26 Ogos.  Penurunan selanjutnya dicatatkan susulan Jackson Hole Symposium yang diadakan oleh US Federal Reserve (Fed) apabila pasaran kewangan mengubah jangkaan mereka berhubung dengan garis masa pengurangan oleh US Fed.
  • Ringgit menambah nilai sebanyak 1.5% berbanding dengan dolar AS, sejajar dengan pengurangan nilai dolar AS secara umum berbanding dengan mata wang ekonomi sedang pesat membangun.

Permodalan sistem perbankan kekal kukuh

  • Bank-bank terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh untuk berhadapan dengan tekanan yang mungkin berlaku serta meneruskan pengantaraan kredit dalam ekonomi.
  • Nisbah-nisbah modal menurun sedikit daripada bulan sebelumnya disebabkan terutamanya kerana pembayaran dividen oleh beberapa bank.
  • Meskipun nisbah-nisbah modal menurun sedikit, lebihan penampan modal[1] bank-bank kekal kukuh pada RM129.2 billion pada bulan Ogos 2021.

Kualiti aset perbankan kekal utuh

  • Bank-bank terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam berdaya maju yang menghadapi kesukaran kewangan sementara dalam keadaan prospek risiko kredit yang terus mencabar. Bahagian pinjaman yang diklasifikasikan oleh bank-bank sebagai mempunyai risiko kredit yang meningkat kekal tinggi pada 10.8% daripada jumlah pinjaman.
  • Meskipun nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih pada amnya stabil masing-masing pada 1.7% dan 1.0%, bank-bank terus mengamalkan sikap berhemat dalam memperuntukkan pinjaman.
  • Jumlah peruntukan yang disediakan bagi menghadapi kemungkinan kerugian kredit pada masa ini berada pada 1.9% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.

 

Lihat juga:

Siaran Akhbar [PDF]

 


[1] Merujuk jumlah modal yang melebihi tahap pengawalseliaan minimum, serta meliputi keperluan penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi


Bank Negara Malaysia
30 September 2021

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?