Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Ogos 2022

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Jumaat, 30 September 2022
30 Sep 2022 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan meningkat kepada 4.7% pada bulan Ogos

  • Inflasi keseluruhan meningkat kepada 4.7% pada bulan Ogos (Julai: 4.4%), selaras dengan jangkaan pasaran.
  • Inflasi teras meningkat kepada 3.8% pada bulan Ogos (Julai: 3.4%). Peningkatan ini sebahagian besarnya mencerminkan harga yang lebih tinggi untuk sewaan dan makanan di luar rumah.
  • Walaupun inflasi tahunan lebih tinggi, sebanyak 10 daripada 12 kategori Indeks Harga Pengguna (IHP) utama mencatatkan peningkatan bulan ke bulan yang sederhana.

Pertumbuhan eksport kukuh pada bulan Ogos

  • Eksport mencatatkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 48.2% (Julai: 38%) pada bulan Ogos 2022.
  • Pertumbuhan eksport perkilangan didorong oleh produk E&E dan petroleum. Sementara itu, eksport komoditi terus disokong terutamanya oleh penghantaran minyak sawit mentah, gas asli cecair dan petroleum mentah.
  • Pada masa hadapan, pertumbuhan global yang sederhana dan harga komoditi yang lebih rendah dijangka menjejaskan pertumbuhan eksport Malaysia. Kepelbagaian eksport Malaysia merentasi produk dan pasaran dijangka membantu mengurangkan kesan terjejas ini.

Pertumbuhan pembiayaan bersih mampan pada bulan Ogos

  • Pembiayaan bersih meningkat sebanyak 6.1% pada akhir bulan Ogos (Julai: 5.3%), didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pinjaman terkumpul (6.8%; Julai: 5.9%) dan bon korporat (4.3%; Julai: 3.7%).
  • Pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 6.5% (Julai: 6.1%) dalam keadaan pertumbuhan yang stabil merentas kebanyakan tujuan. Yang penting, pertumbuhan pengeluaran pinjaman mencerminkan pertumbuhan permohonan pinjaman yang mampan, terutamanya untuk pembelian rumah dan kereta.
  • Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat kepada 6.7% (Julai: 5.9%), didorong terutamanya oleh sektor perdagangan borong, perkilangan dan utiliti. Mengikut segmen, aliran kredit khususnya kepada PKS terus tersedia, dengan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi pada 7.5% (Julai: 6.6%).

Pasaran kewangan domestik disokong oleh aliran masuk portfolio asing

  • Pada bulan Ogos, keadaan kewangan global menjadi ketat apabila Federal Reserve AS menegaskan komitmennya untuk menurunkan inflasi AS meskipun jangkaan pertumbuhan AS lebih rendah. Pelarasan pasaran kewangan domestik kekal teratur dalam keadaan volatiliti pertukaran asing yang rendah dan jumlah dagangan yang mencukupi.
  • Kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 10 mata asas (purata serantau*: +11.7 mata asas) seiring dengan kadar hasil bon US Treasury 10 tahun yang lebih tinggi (+45.4 mata asas).
  • Ringgit menurun nilai sebanyak 0.8% (purata serantau*: -1.3%) berikutan nilai dolar AS yang terus kukuh, manakala FBM KLCI meningkat sebanyak 1.3% (purata serantau*: +2.8%) dengan disokong oleh aliran masuk asing dan pertumbuhan KDNK suku kedua Malaysia yang lebih kukuh daripada jangkaan.

Tahap permodalan institusi perbankan terus kukuh untuk menyokong pemulihan ekonomi

  • Sistem perbankan terus mencatatkan kedudukan permodalan yang kukuh untuk menghadapi kemungkinan tekanan dan terus menyokong aliran kredit ke dalam ekonomi.
  • Keadaan ini membolehkan beberapa bank mengekalkan pembayaran dividen pada bulan Ogos.
  • Pada akhir bulan Ogos, sistem perbankan mencatatkan lebihan penampan modal[1] sebanyak RM126.7 bilion.

Daya tahan institusi perbankan terus disokong oleh kualiti aset yang kukuh

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan pada amnya kekal stabil masing-masing pada 1.84% (Julai: 1.85%) dan 1.1% (Julai: 1.2%).
  • Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal pada tahap berhemat iaitu 113.7% daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.8% daripada jumlah pinjaman.
  • Setakat akhir bulan Ogos, sistem perbankan mencatatkan jumlah peruntukan dan rizab pengawalseliaan sebanyak RM41.5 bilion.

Sorotan Bulanan [PDF]


* Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea

[1] Merujuk jumlah modal yang melebihi tahap pengawalseliaan minimum, yang meliputi keperluan penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi.

 



Bank Negara Malaysia
30 September 2022

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?