Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Ogos 2023

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Jumaat, 29 September 2023
29 Sep 2023 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan kekal tidak berubah pada 2.0% pada bulan Ogos

  • Inflasi keseluruhan kekal tidak berubah pada 2.0% (Julai 2023: 2.0%) berikutan penurunan inflasi teras yang diimbangi oleh kenaikan sementara inflasi untuk komponen bukan teras termasuk bahan api dan elektrik.

  • Inflasi teras yang lebih rendah pada 2.5% (Julai 2023: 2.8%) sebahagian besarnya mencerminkan inflasi yang lebih rendah untuk makanan di luar rumah, sewa dan perkhidmatan mengikut budi bicara.

Eksport terus menurun pada bulan Ogos

  • Eksport menguncup sebanyak 6% pada bulan Ogos 2023 (Julai 2023: -13.0%), mencerminkan permintaan luaran yang lebih lemah dan penurunan harga komoditi berikutan kesan asas yang tinggi.

  • Pertumbuhan eksport perkilangan terjejas disebabkan terutamanya oleh produk E&E, produk petroleum dan produk berasaskan minyak sawit. Sementara itu, eksport komoditi menurun disebabkan terutamanya oleh penghantaran minyak sawit, gas asli cecair (liquefied natural gas, LNG) dan petroleum mentah yang lebih rendah.

  • Pertumbuhan eksport dijangka terus menguncup pada tempoh jangka pendek, meskipun pada kadar yang lebih perlahan. Risiko pertumbuhan eksport menjadi lebih perlahan terus wujud, berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah.

Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan mampan pada bulan Ogos

  • Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 3.8% pada akhir bulan Ogos (Julai 2023: 3.8%), disokong oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi.

  • Bagi perniagaan, walaupun bon korporat terkumpul meningkat pada kadar yang lebih perlahan 4% (Julai 2023: 5.2%), pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat kepada 0.7% (Julai 2023: 0.2%). Hal ini mencerminkan terutamanya peningkatan dalam segmen bukan PKS untuk pinjaman modal kerja dan pelaburan. Yang ketara, pertumbuhan pinjaman terkumpul kepada PKS sebahagian besarnya terus menggalakkan pada 6.2% (Julai 2023: 6.7%).

  • Pertumbuhan pinjaman terkumpul bagi isi rumah mampan pada 5.3% (Julai 2023: 5.2%), disokong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi merentas kebanyakan tujuan pinjaman. Pertumbuhan pinjaman isi rumah terus didorong oleh pinjaman untuk pembelian rumah dan kereta, yang masing-masing meningkat sebanyak 7.3% dan 8.7% (Julai 2023: masing-masing 7.1% dan 8.4%).

Pasaran kewangan domestik didorong oleh faktor luaran

  • Pasaran kewangan global terjejas oleh kebimbangan yang berterusan berhubung dengan kelembapan ekonomi China. People’s Bank of China telah mengumumkan satu kitaran pelonggaran dasar monetari yang tidak dijangka. Sementara itu, Pengerusi Federal Reserve AS, Jerome Powell menegaskan semula di Jackson Hole Symposium bahawa keadaan monetari AS perlu terus ketat untuk tempoh yang lebih lama.

  • Kesannya, ringgit menurun nilai berbanding dolar AS sebanyak 2.1% (purata serantau[1]: -2.4%), manakala FBM KLCI menurun sebanyak 0.5% (purata serantau: -2.0%). Kadar hasil MGS 10 tahun kekal tidak berubah pada bulan Ogos.

Permodalan sistem perbankan kekal kukuh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi

  • Sistem perbankan terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh untuk menghadapi kemungkinan tekanan dan menyokong pertumbuhan pengantaraan kredit dalam ekonomi.

  • Pada tarikh laporan, sistem perbankan mencatatkan lebihan penampan modal[2] sebanyak RM133.3 bilion.

Daya tahan sistem perbankan terus disokong oleh kualiti aset yang mantap

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan sebahagian besarnya kekal tidak berubah, masing-masing pada 1.8% dan 1.1%.

  • Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal pada tahap berhemat sebanyak 115.0% daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.6% daripada jumlah pinjaman.

Lihat juga: Sorotan Bulanan [PDF]


[1] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea

[2] Merujuk jumlah modal melebihi tahap pengawalseliaan minimum, yang meliputi keperluan penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi


Bank Negara Malaysia
29 September 2023

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?