Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Oktober 2021
Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Selasa, 30 November 2021
30 Nov 2021
Siaran Akhbar
Inflasi keseluruhan meningkat kepada 2.9% pada bulan Oktober
- Inflasi keseluruhan meningkat kepada 2.9% (September: 2.2%) disebabkan terutamanya oleh berakhirnya diskaun bil elektrik 3 bulan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH). Diskaun elektrik yang berakhir ini telah menyumbang 0.6 mata peratusan kepada inflasi keseluruhan.
- Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, turut meningkat sedikit pada 0.7% (September: 0.6%) disebabkan oleh pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.
Pertumbuhan eksport kukuh pada bulan Oktober
- Eksport meningkat sebanyak 25.5% (September: 24.7%), mencerminkan permintaan yang terus kukuh merentas produk dan pasaran eksport Malaysia.
- Pada masa hadapan, prestasi eksport akan terus mendapat manfaat daripada peningkatan teknologi global. Selain itu, permintaan kukuh terhadap produk perkilangan bukan E&E dan harga komoditi yang lebih tinggi akan melonjakkan lagi pertumbuhan eksport.
- Walau bagaimanapun, prestasi perdagangan terus bergantung pada perkembangan pandemik, di samping perkembangan gangguan rantaian bekalan global yang berterusan.
Pertumbuhan pembiayaan bersih lebih tinggi
- Pertumbuhan pembiayaan bersih meningkat sedikit kepada 4.0% (September: 3.9%). Hal ini mencerminkan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi (Oktober: 3.3%; September: 2.9%), berikutan pertumbuhan bon korporat terkumpul yang sederhana (Oktober: 5.9%; September: 6.5%).
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat kepada 3.7% (September: 3.2%), berikutan pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi merentas semua tujuan.
- Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul (Oktober: 3.1%; September: 2.3%) terus disokong oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih tinggi (Oktober: 5.9%; September: 4.5%), yang kekal berada di atas paras yang pernah dicatatkan sebelum ini.
Pasaran kewangan domestik disokong oleh prospek pertumbuhan yang lebih positif
- Pada bulan Oktober, sentimen pelabur global didorong oleh peningkatan jangkaan terhadap Federal Reserve AS untuk mula mengurangkan program pembelian asetnya menjelang akhir tahun 2021. Kesannya, kadar hasil bon global termasuk penanda aras kadar hasil MGS 10 tahun meningkat seiring dengan kenaikan kadar hasil US Treasury jangka panjang.
- Di dalam negeri, sentimen pelabur disokong oleh suasana optimis berhubung dengan prospek pertumbuhan dalam negeri susulan pelonggaran sekatan perjalanan merentas negeri dan antarabangsa mulai 11 Oktober 2021.
- Hasilnya, FBM KLCI meningkat sebanyak 1.6% dan ringgit menambah nilai sebanyak 1.1% berbanding dengan dolar AS. Harga komoditi yang lebih kukuh turut memberikan sokongan selanjutnya kepada kadar pertukaran ringgit.
Mudah tunai yang mencukupi dalam sistem perbankan disokong oleh pertumbuhan deposit yang berterusan
- Kedudukan mudah tunai dan pendanaan sistem perbankan kekal menyokong aktiviti pengantaraan.
- Pada akhir bulan Oktober 2021, nisbah perlindungan mudah tunai sistem perbankan (liquidity coverage ratio, LCR) kekal kukuh (Oktober: 153.3%; September: 154.4%).
- Nisbah pinjaman kepada dana dan nisbah pinjaman kepada dana dan ekuiti juga terus stabil masing-masing pada 81.6% dan 71.1%.
Kualiti aset bank kekal kukuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar keseluruhan menurun sedikit kepada 1.5% (September: 1.6%), didorong oleh segmen isi rumah. Bank-bank terus membantu peminjam berdaya maju yang menghadapi kesukaran kewangan sementara melalui pakej bantuan bayaran balik pinjaman.
- Bank-bank terus berhemat dalam peruntukan kerugian pinjaman. Jumlah peruntukan yang disediakan bagi menghadapi kemungkinan kerugian kredit berada pada 1.9% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.
Lihat juga:
Siaran Akhbar [PDF]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.
Terima kasih atas maklum balas anda!