Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Oktober 2023

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Khamis, 30 November 2023
30 Nov 2023 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan menurun sedikit kepada 1.8% pada bulan Oktober

  • Inflasi keseluruhan menurun sedikit kepada 1.8% (September 2023: 1.9%) didorong sebahagian besarnya oleh inflasi makanan segar (1.2%; September 2023: 1.6%).
  • Sementara itu, inflasi teras[1] lebih rendah pada 2.4% (September 2023: 2.5%) pada bulan Oktober.
    • Khususnya, penurunan itu disebabkan oleh inflasi yang lebih rendah bagi perkhidmatan terpilih termasuk makanan dari luar rumah serta pembaikan dan penyelenggaraan untuk pengangkutan peribadi.

Eksport menguncup sedikit

  • Eksport menguncup pada kadar yang lebih perlahan (-4.4%; September 2023: -13.8%), mencerminkan peningkatan dalam eksport perkilangan dan eksport komoditi.
  • Eksport perkilangan mencatatkan penurunan yang lebih kecil bagi eksport elektrik dan elektronik (E&E) dan bukan E&E. Sementara itu, eksport komoditi disokong oleh peningkatan eksport minyak sawit.
  • Pada masa hadapan, eksport dijangka meningkat secara beransur-ansur menjelang akhir tahun ini. Risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan terus wujud, berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah.

Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan mampan

  • Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan[2],[3] meningkat sebanyak 4.2% pada akhir bulan Oktober (September 2023: 4.2%), disokong oleh pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul yang lebih tinggi berikutan pertumbuhan kredit yang lebih perlahan kepada perniagaan.
  • Pinjaman perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 1% (September 2023: 1.6%), disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan yang lebih sederhana bagi pinjaman modal kerja dalam kalangan bukan perusahaan kecil dan sederhana (bukan PKS). Walau bagaimanapun, pertumbuhan pinjaman PKS terkumpul masih menggalakkan (6.9%; September 2023: 6.7%). Sementara itu, pertumbuhan bon korporat terkumpul kekal pada 5% (September 2023: 5%).
  • Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat sedikit kepada 5.6% (September 2023: 5.4%), disokong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi merentas kebanyakan tujuan pinjaman. Keadaan ini mencerminkan permintaan pinjaman yang lebih tinggi terhadap pinjaman isi rumah, terutamanya untuk pembelian rumah, kereta dan kegunaan peribadi.

Pasaran kewangan domestik sebahagian besarnya dipengaruhi sentimen pelabur global

  • Keadaan kewangan global terjejas disebabkan terutamanya oleh kenaikan kadar hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) 10 tahun apabila data ekonomi AS yang kukuh menyebabkan peningkatan jangkaan pelabur terhadap persekitaran kadar dasar yang yang lebih tinggi.
  • Berlatarkan keadaan ini, kadar Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun meningkat sebanyak 14 mata asas (purata serantau[4] : +22 mata asas) manakala nilai ringgit menurun sebanyak 1.6% berbanding nilai dolar AS (purata serantau: -0.3%).
  • FBM KLCI meningkat sebanyak 1.3% berikutan sentimen pasaran ekuti domestik yang lebih baik selepas Belanjawan 2024.

Permodalan sistem perbankan kekal kukuh untuk menyokong pertumbuhan ekonomi

  • Nisbah modal secara amnya stabil, menyokong aktiviti pengantaraan kewangan bank-bank dan meningkatkan keupayaan mereka untuk menampung kerugian yang tidak dijangka.
  • Lebihan penampan modal sistem perbankan[5] kekal kukuh pada RM132.6 bilion.

Kedudukan mudah tunai dan pendanaan institusi perbankan terus kukuh

  • Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai pada 150.8% (September 2023: 151.5%).
  • Agregat nisbah pinjaman kepada dana sebahagian besarnya kekal stabil pada 82.2% (September 2023: 82.5%).

 


[1]  Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.

[2] Terdiri daripada pinjaman kepada isi rumah dan syarikat bukan kewangan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) serta bon korporat yang diterbitkan oleh syarikat bukan kewangan (termasuk kertas jangka pendek).

[3]  Mulai penerbitan Sorotan dan Perangkaan Bulanan (Monthly Highlights and Statistics, MHS) bulan Disember 2022, siri ini diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti data pembiayaan. Siri data baharu ini tersedia dalam Jadual 2.18 MHS.

[4] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan

[5] Merujuk jumlah modal melebihi tahap pengawaliseliaan minimum, dan meliputi keperluan penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi

 

Sorotan Bulanan [PDF]


Bank Negara Malaysia
30 November 2023

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?