Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan September 2021
Inflasi keseluruhan meningkat kepada 2.2% pada bulan September
- Inflasi keseluruhan meningkat kepada 2.2% pada bulan September (Ogos: 2.0%), mencerminkan terutamanya inflasi yang lebih tinggi dalam kategori makanan dan minuman bukan alkohol (September: 1.9%; Ogos: 1.2%).
- Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras[1], stabil pada 0.6% pada bulan itu (Ogos: 0.6%).
Perdagangan borong dan runcit meningkat pada bulan Ogos
- Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) menurun pada bulan Ogos 2021 (Ogos: -12.2%; Julai: -16.6%) disebabkan terutamanya oleh segmen kenderaan motor yang mencatatkan penguncupan dua angka bagi tiga bulan berturut-turut (Ogos: -59.0%; Julai: -88.2%; Jun: -92.8%). Penurunan ini mencerminkan pelaksanaan sekatan pergerakan serta asas yang lebih tinggi pada tempoh yang sama tahun lepas.
- Walau bagaimanapun, indeks ini meningkat pada asas bulanan terlaras secara bermusim (Ogos: 5.3%; Julai: 1.1%), yang menunjukkan pemulihan aktiviti pengguna secara beransur-ansur berikutan pelonggaran langkah-langkah pembendungan dan sentimen pengguna yang bertambah baik.
Pertumbuhan pembiayaan bersih yang lebih tinggi
- Pertumbuhan pembiayaan bersih[2] meningkat kepada 3.9% (Ogos: 3.6%) apabila pertumbuhan pinjaman terkumpul (September: 2.9%; Ogos: 2.5%) dan bon korporat terkumpul (September: 6.5%; Ogos: 6.4%) meningkat.
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul terus sederhana (September: 3.2%; Ogos: 3.4%). Walau bagaimanapun, paras pengeluaran pinjaman dan bayaran balik pinjaman yang lebih tinggi dicatatkan merentas semua tujuan.
- Bagi sektor perniagaan, pinjaman terkumpul meningkat sebanyak 2.3% (Ogos: 0.8%), didorong oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih kukuh (September: 4.6%; Ogos: 2.2%).
Pasaran kewangan domestik terjejas akibat ketidakpastian berhubung dengan prospek ekonomi global
- Pada bulan September, prestasi pasaran kewangan domestik terjejas akibat ketidakpastian berhubung dengan prospek ekonomi global dan jangkaan peralihan dalam pelarasan mudah tunai global.
- FBM KLCI menurun sebanyak 4% berikutan sentimen pelabur yang semakin lemah disebabkan sebahagiannya oleh kebimbangan berhubung dengan kesan negatif terhadap ekonomi dan kewangan yang disebabkan oleh kedudukan kewangan Evergrande. Hal ini sebahagiannya diimbangi oleh sokongan positif daripada kemajuan yang ketara dalam kadar pemberian vaksin di dalam negeri dan jangkaan pembukaan semula ekonomi.
- Dalam pasaran bon, kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 17.3 mata asas. Peningkatan ini mencerminkan limpahan daripada kenaikan kadar hasil US Treasury jangka panjang yang disebabkan oleh jangkaan bahawa US Federal Reserve akan mula mengurangkan program pembelian aset menjeIang akhir tahun.
- Kesannya, ringgit menurun nilai sedikit, iaitu 0.5% berbanding dengan dolar AS, selaras dengan penambahan nilai dolar AS secara keseluruhan berbanding dengan mata wang negara sedang pesat membangun.
Mudah tunai yang mencukupi dalam sistem perbankan disokong oleh pertumbuhan deposit yang berterusan
- Sistem perbankan terus mengekalkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai (liquidity coverage ratio, LCR) terus teguh pada bulan September 2021 (Ogos: 150.0%).
- Profil pendanaan bank-bank kekal stabil berikutan pertumbuhan deposit perniagaan dan runcit yang kukuh.
Kualiti aset kekal disokong oleh amalan pengurusan risiko bank-bank yang mantap
- Nisbah pinjaman terjejas kasar keseluruhan menurun sedikit kepada 1.6% (Ogos: 1.7%), didorong oleh sektor-sektor terpilih dalam segmen perniagaan.
- Bank-bank terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam berdaya maju yang menghadapi kesukaran kewangan sementara.
- Bank-bank juga terus menyediakan peruntukan tambahan bagi menghadapi kemungkinan kerugian kredit, yang pada masa ini berjumlah 1.9% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir. Pengiraan juga tidak termasuk anggaran kesan langsung perubahan dasar cukai.
[2] Merujuk pinjaman terkumpul sistem perbankan (tidak termasuk institusi kewangan pembangunan (IKP)).
Lihat juga:
Siaran Akhbar [PDF]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.