Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan September 2022
Inflasi keseluruhan menurun kepada 4.5% pada bulan September
- Inflasi keseluruhan menurun kepada 4.5% pada bulan September (Ogos: 4.7%) apabila inflasi yang lebih rendah untuk harga ayam segar, sayur-sayuran segar dan bahan api lebih daripada mengimbangi (offset) peningkatan inflasi teras.
- Inflasi teras[1] meningkat kepada 4.0% (Ogos: 3.8%), sebahagian besarnya mencerminkan inflasi yang lebih tinggi untuk harga pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan peribadi, makanan di luar rumah serta produk roti dan bakeri.
- Inflasi teras meningkat lebih sederhana sebanyak 0.3% pada asas bulan ke bulan (Ogos: 0.6%).
Pertumbuhan perdagangan borong dan runcit kekal kukuh pada bulan Ogos
- Pada bulan Ogos 2022, Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) terus mencatatkan pertumbuhan dua angka meskipun lebih rendah, iaitu sebanyak 27.0% (Julai: 33.4%). Pertumbuhan kukuh ini didorong terutamanya oleh segmen kenderaan bermotor. Pertumbuhan yang meningkat ini juga disebabkan oleh asas yang rendah pada bulan Ogos 2021, apabila bilik pameran ditutup semasa pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada separuh pertama bulan itu, serta pembelian kenderaan bermotor yang terus kukuh.
- Hal ini berserta dengan aktiviti yang lebih giat dalam segmen runcit menyumbang kepada peningkatan pesat pertumbuhan yang terlaras secara bermusim pada asas bulan ke bulan sebanyak 3.1% (Julai: -1.6%).
Pertumbuhan pembiayaan bersih[2] menjadi sederhana pada bulan September
- Pembiayaan bersih meningkat 5.6% pada akhir bulan September (Ogos: 6.1%), mencerminkan pertumbuhan yang lebih rendah dalam pinjaman terkumpul (6.4%; Ogos: 6.8%) dan bon korporat (3.5%; Ogos: 4.3%).
- Pertumbuhan dalam pinjaman isi rumah terkumpul kekal tidak berubah pada 6.6%, mencerminkan pertumbuhan yang stabil merentas kebanyakan tujuan. Pengeluaran pinjaman terus mencatatkan pertumbuhan yang tinggi meskipun pada kadar sederhana, dalam keadaan trend bayaran balik pinjaman yang mampan.
- Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul menurun kepada 5.2% (Ogos: 6.8%), sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas yang lebih tinggi. Namun begitu, pengeluaran pinjaman kekal mampan, didorong terutamanya oleh segmen perdagangan borong, perkilangan pengguna dan kejuruteraan awam.
Keadaan kewangan domestik bertambah ketat pada bulan September, didorong terutamanya oleh perkembangan luaran
- Pada bulan September, kadar hasil bon global meningkat, pasaran ekuiti merosot dan dolar AS terus mengukuh. Keadaan ini mencerminkan jangkaan bahawa dasar monetari akan diketatkan lagi terutamanya oleh Federal Reserve AS bagi menangani tekanan inflasi yang berterusan dalam keadaan prospek pertumbuhan global yang lebih sederhana.
- Walaupun begitu, purata jumlah dagangan dan volatiliti FX dalam pasaran kewangan domestik kekal baik.
- Kadar hasil MGS 10 tahun terus meningkat sebanyak 43.0 mata asas (purata serantau*: 58.0 mata asas) manakala FBM KLCI menurun sebanyak 7.8% (purata serantau*: -6.9%), didorong oleh aliran keluar portfolio bukan pemastautin daripada pasaran bon dan ekuiti domestik.
- Ringgit menurun nilai sebanyak 3.5% berbanding dengan dolar AS (purata serantau*: -3.8%) berikutan mata wang AS yang terus kukuh.
Bank mengekalkan kedudukan mudah tunai dan pendanaan yang kukuh untuk menyokong pengantaraan
- Bank-bank terus mencatatkan tahap penampan mudah tunai yang kukuh dengan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai agregat pada 152.5% (Ogos: 141.1%).
- Pertumbuhan deposit yang mampan susulan kegiatan ekonomi yang kembali pulih terus menyokong aktiviti pemberian pinjaman oleh bank-bank.
- Nisbah pinjaman kepada dana agregat kekal stabil pada 82.5% (Ogos: 82.6%).
Kualiti aset sistem perbankan kekal utuh
- Secara keseluruhan, nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih pada amnya kekal stabil, masing-masing pada 1.82% (Ogos: 1.84%) dan 1.12% (Ogos: 1.13%).
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab kawal selia) kekal pada tahap berhemat sebanyak 115.2% daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.8% daripada jumlah pinjaman.
- Setakat akhir bulan September 2022, sistem perbankan mencatatkan jumlah peruntukan dan rizab kawal selia sebanyak RM41.9 bilion.
Sorotan Bulanan [PDF]
* Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir. Pengiraan juga tidak termasuk anggaran kesan langsung perubahan dasar cukai.
[2] Merujuk pinjaman terkumpul sistem perbankan (tidak termasuk institusi kewangan pembangunan (IKP)) dan bon korporat terkumpul. Data mulai bulan Julai 2022 adalah berdasarkan data pinjaman/pembiayaan baharu yang mencerminkan keperluan terkini. Angka-angka tidak semestinya terjumlah disebabkan oleh penggenapan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.