Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan September 2023

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Selasa, 31 Oktober 2023
31 Okt 2023 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 1.9% pada bulan September

  • Inflasi keseluruhan menurun sedikit kepada 1.9% (Ogos 2023: 2%) didorong sebahagian besarnya oleh inflasi makanan segar yang terus menunjukkan trend menurun pada bulan September (1.6%; Ogos 2023: 2%).
  • Sementara itu, inflasi teras kekal stabil pada 2.5% (Ogos 2023: 2.5%). Inflasi yang lebih tinggi bagi barangan seperti beras dan barang kemas diimbangi oleh inflasi yang sederhana dalam perkhidmatan terpilih termasuk pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan serta perkhidmatan rekreasi.

Pertumbuhan perdagangan borong dan runcit sedikit perlahan pada bulan Ogos

  • Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) meningkat sebanyak 5% pada bulan Ogos 2023
    (Julai 2023: 5.4%).
  • Indeks jualan runcit bertambah baik berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi di kedai bukan khusus (contohnya, pasar raya dan gedung serbaneka) serta jualan runcit kelengkapan isi rumah (contohnya, perabot dan peralatan rumah).
  • Walau bagaimanapun, pertumbuhan segmen kenderaan bermotor menjadi sederhana.

Pertumbuhan kredit kekal menyokong kegiatan ekonomi

  • Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 4.2% pada akhir bulan September (Ogos 2023: 3.8%), mencerminkan terutamanya pertumbuhan pemberian kredit yang lebih tinggi kepada perniagaan (3%; Ogos 2023: 2.3%).
  • Pinjaman perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 1.6%
    (Ogos 2023: 0.7%) berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman modal kerja PKS dan bukan PKS. Yang ketara, pertumbuhan pinjaman PKS meningkat kepada 6.7% (Ogos 2023: 6.2%). Sementara itu, pertumbuhan bon korporat terkumpul juga meningkat kepada 5% (Ogos 2023: 4.4%).
  • Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat sedikit kepada 5.4% (Ogos 2023: 5.3%), disokong oleh pengembangan yang stabil merentas semua tujuan pinjaman. Keadaan ini mencerminkan permintaan pinjaman yang berterusan, dengan pertumbuhan permohonan pinjaman yang lebih tinggi pada 3.8% (Ogos 2023: 3%).

Pasaran kewangan domestik didorong oleh jangkaan pelabur berhubung dengan haluan kadar faedah “lebih tinggi untuk jangka masa lebih lama” di AS

  • Keadaan kewangan global menjadi ketat berikutan meningkatnya jangkaan berhubung dengan haluan kadar faedah “lebih tinggi untuk jangka masa lebih lama” yang diunjurkan oleh Federal Open Market Committee (FOMC) AS. Hal ini disokong oleh siaran data yang menunjukkan daya tahan pasaran pekerja dan kegiatan ekonomi AS.
  • Berlatarkan keadaan ini, kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak
    13 mata asas (purata serantau[1]: 28 mata asas). Berikutan nilai dolar AS yang terus kukuh, nilai ringgit juga menurun sebanyak 1.1% (purata serantau¹: -1.8%), manakala FBM KLCI diniagakan lebih rendah sebanyak 1.9% berikutan sentimen pelabur yang lemah

Bank-bank mengekalkan kedudukan mudah tunai dan pendanaan yang kukuh untuk menyokong pengantaraan

  • Bank-bank terus mencatatkan kedudukan penampan mudah tunai yang kukuh dengan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai agregat pada 151.5% (Ogos 2023: 150.3%).
  • Nisbah pinjaman kepada dana agregat bagi sistem perbankan kekal stabil pada 82.5% (Ogos 2023: 82.3%).

Kualiti aset sistem perbankan kekal utuh

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhannya kekal stabil masing-masing pada 1.72% (Ogos 2023: 1.78%) dan 1.07%
    (Ogos 2023: 1.11%).
  • Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal pada tahap berhemat iaitu 117.5% daripada pinjaman terjejas.
  • Nisbah jumlah peruntukan kepada jumlah pinjaman kekal pada trend sederhana yang stabil, dibantu oleh pertumbuhan pinjaman dan masuk kira semula (writeback) peruntukan berikutan peningkatan kualiti asset.

Lihat juga: Sorotan Bulanan [PDF]


[1] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea


Bank Negara Malaysia
31 Oktober 2023

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?