Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan April 2025
Inflasi keseluruhan kekal tidak berubah pada bulan April
- Pada bulan April, inflasi keseluruhan kekal tidak berubah pada 1.4% (Mac 2025: 1.4%), manakala inflasi teras[1] meningkat sedikit kepada 2% (Mac 2025: 1.9%).
- Peningkatan inflasi teras disumbangkan oleh komponen teras termasuk perkhidmatan komunikasi mudah alih, barang kemas dan jam tangan serta pengangkutan penumpang udara.
- Peningkatan ini diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah bagi barangan bukan teras seperti bahan api dan pelincir serta sayur-sayuran segar berikutan persekitaran kos yang semakin reda.
Eksport dan import mencatatkan pertumbuhan kukuh pada bulan April
- Eksport kasar meningkat sebanyak 16.4% (Mac 2025: 6.8%) terutamanya disebabkan oleh pengembangan eksport E&E yang terus kukuh serta disokong lanjut oleh eksport bukan E&E dan komoditi yang kembali pulih.
- Import berkembang sebanyak 20% (Mac 2025: -2.9%), berikutan lonjakan pertumbuhan dalam import modal.
- Pada masa hadapan, ketegangan perdagangan yang semakin meningkat dijangka menjejaskan eksport dan meningkatkan lagi risiko pengurangan eksport. Walau bagaimanapun, risiko ini diimbangi sebahagiannya oleh permintaan global yang berterusan untuk E&E serta peranan penting Malaysia dalam rantaian bekalan global.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan kekal mampan
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.5% (Mac 2025: 5.5%), susulan pertumbuhan berterusan dalam pinjaman terkumpul (5.5%; Mac 2025: 5.6%) dan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam bon korporat terkumpul (5.5%; Mac 2025: 5.3%).
- Pertumbuhan pinjaman perniagaan menurun sedikit kepada 4.6% (Mac 2025: 4.8%) berikutan pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan terutamanya dalam sektor perkhidmatan. Walau bagaimanapun, permintaan untuk pembiayaan perniagaan kekal menggalakkan oleh PKS dan bukan PKS.
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada 6% (Mac 2025: 6%), dengan pertumbuhan berterusan merentas kebanyakan tujuan pinjaman.
Pasaran kewangan domestik sebahagian besarnya dipengaruhi oleh pengumuman tarif AS dan sentimen pelabur global yang berhati-hati
- Keadaan kewangan global mengalami volatiliti yang ketara susulan pengumuman tarif oleh pentadbiran AS. Sentimen pelabur global juga berubah menjadi lebih berhati-hati berikutan kebimbangan yang semakin meningkat tentang ekonomi AS yang lebih perlahan serta kesan negatifnya terhadap ekonomi global.
- Dalam keadaan perkembangan global ini, ringgit menambah nilai sebanyak 2.7% berbanding dolar AS dolar (NEER[2]: 1%; purata serantau[3]: 1.8%). Penambahan nilai ini didorong terutamanya oleh kelemahan menyeluruh dolar AS.
- FBM KLCI meningkat sebanyak 1.8% (purata serantau3: 1.1%), manakala kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) 10 tahun menurun sebanyak 11 mata asas (purata serantau3: -14.7 mata asas), sejajar dengan pergerakan kadar hasil bon global. Pergerakan ini didorong terutamanya oleh aliran masuk asing bersih ke dalam pasaran bon dalam keadaan penghindaran risiko global yang semakin ketara.
Kedudukan mudah tunai sistem perbankan kekal kukuh untuk menyokong pengantaraan kewangan
- Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 155.8% (Mac 2025: 151.6%).
- Agregat nisbah pinjaman kepada dana menurun sedikit kepada 83.3%
(Mac 2025: 83.8%) apabila peningkatan dalam jumlah dana mengatasi pertumbuhan pinjaman.
Kualiti aset bank-bank kekal kukuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan nisbah pinjaman terjejas bersih masing-masing kekal pada 1.4% dan 0.9%.
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 131.0% daripada pinjaman terjejas kasar (Mac 2025: 131.3%).
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Kadar Pertukaran Efektif Nominal (Nominal Effective Exchange Rate)
[3] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan.
Lihat juga:
Sorotan Bulanan [PDF]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.