Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan April 2026
Inflasi keseluruhan meningkat sedikit manakala inflasi teras mereda sedikit pada bulan April
- Pada bulan April, inflasi keseluruhan meningkat sedikit kepada 1.9% (Mac 2026: 1.7%), manakala inflasi teras[1] mereda sedikit kepada 2% (Mac 2026: 2.1%).
- Peningkatan inflasi keseluruhan ini telah dijangka dan mencerminkan terutamanya harga runcit bahan api yang lebih tinggi (khususnya RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia), sejajar dengan harga minyak global yang lebih tinggi.
- Kesan harga minyak global yang lebih tinggi terhadap inflasi bahan api dikurangkan oleh subsidi bersasar yang terus dilaksanakan bagi RON95 dan diesel.[2]
- Peningkatan ini sebahagiannya diimbangi oleh inflasi yang lebih perlahan bagi barang kemas dan jam tangan berikutan harga global emas, platinum dan perak yang lebih rendah.
Peningkatan lebihan dagangan berikutan prestasi eksport yang kukuh, diterajui oleh sektor E&E
- Lebihan dagangan meningkat kepada RM28.8 bilion (Mac 2026: RM24.6 bilion), didorong oleh eksport yang kukuh yang lebih daripada mengimbangi peningkatan import.
- Eksport mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 36.9% (Mac 2026: 8.3%), didorong oleh:
- Eksport E&E yang kukuh (46.4%; Mac 2026: 15%), khususnya semikonduktor (65.4%; Mac 2026: 34.8%) dan alat ganti mesin pejabat (228.7%; Mac 2026: 7.7%) berikutan permintaan teknologi global yang mampan.
- Eksport bukan E&E turut meningkat (33.2%; Mac 2026: 3.8%), disokong oleh harga produk petroleum yang lebih tinggi.
- Pertumbuhan import meningkat kepada 20% (Mac 2026: 10.4%), berikutan aktiviti eksport semula yang lebih tinggi.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan yang lebih tinggi
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.8% (Mac 2026: 5.6%), didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman perniagaan terkumpul (6.3%; Mac 2026: 5.7%) dan bon korporat terkumpul (6.1%; Mac 2026: 5.8%).
- Pertumbuhan pinjaman perniagaan meningkat berikutan pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi dalam kalangan bukan PKS, khususnya bagi tujuan modal kerja. Sementara itu, pertumbuhan pinjaman berkaitan pelaburan[3] kekal menggalakkan merentas segmen PKS dan bukan PKS.
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah mampan pada 5.5% (Mac 2026: 5.4%), berikutan pertumbuhan pinjaman yang berterusan merentas kebanyakan tujuan.
Kualiti aset institusi perbankan kekal tidak berubah
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan nisbah pinjaman terjejas bersih kekal stabil masing-masing pada kadar 1.4% dan 0.9%.
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 125.4% daripada pinjaman terjejas kasar (Mac 2026: 124.8%).
Institusi perbankan mengekalkan penampan mudah tunai yang mencukupi untuk menghadapi kejutan mudah tunai
- Sistem perbankan terus mencatatkan penampan aset mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 152.8% (Mac 2026: 144.6%).
Pasaran kewangan global dan domestik meraih manfaat daripada sentimen yang lebih baik susulan gencatan senjata dalam perang di Timur Tengah
- Pasaran kewangan global disokong oleh sentimen risiko yang bertambah baik berikutan gencatan senjata dalam perang di Timur Tengah sepanjang bulan April. Perkembangan ini disertai oleh dolar AS yang semakin lemah serta sedikit pelonggaran dalam keadaan kewangan global.
- Berlatarkan perkembangan ini, ringgit menambah nilai sebanyak 1.7% berbanding dolar AS (NEER:[4] 0.9%; purata serantau:[5] 0.2%), disokong oleh aliran masuk asing bersih ke dalam pasaran bon dan ekuiti domestik.
- Pasaran bon dan ekuiti domestik kembali pulih pada bulan tersebut, sejajar dengan pergerakan serantau. Kadar hasil MGS 10 tahun menurun sebanyak 6 mata asas (purata serantau: -3.5 mata asas), manakala FBM KLCI meningkat sebanyak 1.9% (purata serantau: 6.2%).
Muat turun Sorotan Bulan dalam format PDF
Bank Negara Malaysia
29 Mei 2026
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Pada bulan April 2026, pengguna rakyat Malaysia layak menikmati harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi penggunaan hingga 200 liter di bawah program BUDI95. Pengguna diesel di Sabah dan Sarawak terus menikmati harga bersubsidi pada RM2.15 seliter.
[3] Terdiri daripada pinjaman bagi pembelian harta tanah bukan kediaman, harta tanah kediaman bagi tujuan perniagaan, aset tetap serta aktiviti pembinaan.
[4] NEER merujuk kadar pertukaran efektif nominal yang mengukur pergerakan ringgit berbanding kumpulan mata wang rakan dagangan utama Malaysia.
[5] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.