Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Disember 2024
Inflasi keseluruhan terus menurun pada bulan Disember
- Pada bulan Disember, inflasi keseluruhan dan inflasi teras[1] masing-masing menurun kepada 1.7% (November 2024: 1.8%) dan 1.6% (November 2024: 1.8%). Purata inflasi keseluruhan dan inflasi teras adalah 1.8% pada tahun 2024.
- Yang penting, inflasi keseluruhan yang lebih rendah adalah disebabkan oleh penurunan trend inflasi perkhidmatan[2] komunikasi mudah alih yang terus menurun kepada -13.5% pada asas tahunan (November 2024: -11.4%) sepanjang bulan Disember.
- Hal ini sebahagiannya diimbangi oleh inflasi yang lebih tinggi untuk sayur-sayuran (3.6%; November 2024: 1.1%), serta ikan dan makanan laut lain (0.2%; November 2024: -0.1%).
Pertumbuhan perdagangan borong dan runcit sedikit perlahan pada bulan November
- Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) berkembang sebanyak 3.9% pada bulan November 2024 (Oktober 2024: 5.1%).
- Semua segmen terus meningkat meskipun pada kadar yang lebih sederhana. Pertumbuhan dalam segmen borong dan runcit didorong oleh perdagangan borong dalam komponen borong khusus lain serta perdagangan runcit di kedai barangan bukan khusus.
- Bagi segmen kenderaan bermotor, pengurangan dalam jualan kenderaan bermotor (-3.9%; Oktober 2024: -3.9%) telah diimbangi oleh pengembangan dalam semua komponen lain seperti jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan sederhana pada bulan Disember
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 5.2% (November 2024: 5.4%) berikutan pertumbuhan yang sederhana bagi pinjaman perniagaan terkumpul (5.1%; November 2024: 5.4%) dan bon korporat (3.4%; November 2024: 3.8%).
- Pertumbuhan pinjaman perniagaan menjadi sederhana berikutan pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan dalam kalangan bukan PKS. Namun, pertumbuhan pinjaman PKS secara amnya kekal stabil, dengan peningkatan berterusan dalam pinjaman untuk tujuan pelaburan.[3]
- Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman adalah stabil pada 5.9% (November 2024: 6.0%), dengan pertumbuhan yang secara amnya konsisten merentas pinjaman bagi pelbagai tujuan.
Pasaran kewangan domestik didorong terutamanya oleh jangkaan penurunan kadar dasar monetari AS yang lebih perlahan dan ketidakpastian dasar perdagangan AS
- Sebahagian besar pasaran kewangan telah dipengaruhi oleh jangkaan bahawa pelonggaran yang lebih beransur-ansur terhadap dasar monetari Amerika Syarikat pada tahun 2025. Hal ini dalam keadaan semakan menaik dalam unjuran pertumbuhan dan inflasi oleh Federal Reserve AS. Selain itu, ketidakpastian yang timbul daripada kemungkinan dasar perdagangan oleh pentadbiran AS terus mempengaruhi sentimen risiko pelabur.
- Berlatarkan keadaan ini, dolar AS menjadi kukuh, lantas memberikan tekanan kepada penurunan nilai mata wang serantau (purata[4]: -1.4%), termasuk ringgit (-0.7%).
- Hasil MGS 10 tahun menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak 1.0 mata asas (purata serantau4: 9.8 mata asas) manakala FBM KLCI meningkat sebanyak 3.0% (purata serantau4: -0.9%) berikutan prospek pendapatan korporat yang positif.
Kedudukan mudah tunai sistem perbankan terus menyokong pengantaraan kewangan
- Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 160.7% (November 2024: 147.9%).[5]
- Agregat nisbah pinjaman kepada dana secara amnya stabil pada 83.5% (November 2024: 83.8%).
Daya tahan sistem perbankan terus disokong oleh kualiti aset yang kukuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar keseluruhan terus mencatatkan penurunan, dengan peningkatkan kepada 1.4% (November 2024: 1.5%), manakala nisbah pinjaman terjejas bersih kekal stabil pada 0.9%.
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 129.1% daripada pinjaman terjejas (November 2024: 128.0%).
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Penurunan inflasi untuk perkhidmatan komunikasi mudah alih adalah disebabkan oleh harga promosi untuk pelan pascabayar mudah alih dan peningkatan kuota data.
[3] Terdiri daripada pinjaman bagi pembelian harta tanah bukan kediaman, harta tanah kediaman bagi kegunaan perniagaan serta aktitiviti pembinaan.
[4] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan.
[5] Peningkatan lebih tinggi dalam Nisbah Perlindungan Mudah Tunai disebabkan oleh penurunan dalam jangkaan aliran keluar tunai apabila tempoh matang pinjaman antara bank dilanjutkan kepada lebih 30 hari. Keadaan ini selaras dengan langkah-langkah awal bank-bank untuk membina penampan sebagai sebagai persediaan untuk musim persaingan deposit akhir tahun.
Sorotan Bulanan [PDF]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.