Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Disember 2025

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Jumaat, 30 Januari 2026
30 Jan 2026 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.6% pada bulan Disember

  • Pada bulan Disember, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing meningkat kepada 1.6% dan 2.3% (November 2025: 1.4% dan 2.2%). Bagi tahun 2025, inflasi keseluruhan berpurata 1.4% manakala inflasi teras berpurata 2%.
  • Peningkatan inflasi keseluruhan disebabkan sebahagiannya oleh Indeks Harga Pengguna (IHP) elektrik yang lebih tinggi berikutan pengurangan diskaun yang berkaitan dengan kos penjanaan. Gangguan berkaitan banjir juga menyumbang kepada peningkatan kecil dalam harga sayur-sayuran terpilih.
  • Inflasi asas kekal stabil, dengan peningkatan dalam inflasi teras sebahagian besarnya mencerminkan pengurangan kesan asas susulan penurunan terdahulu dalam harga perkhidmatan mudah alih pascabayar.

Pertumbuhan perdagangan borong dan runcit lebih perlahan pada bulan November

  • Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) meningkat sebanyak 5.2% pada bulan November 2025 (Oktober 2025: 5.7%). 
  • Semua segmen mencatatkan pertumbuhan, meskipun pada kadar yang sederhana. Pertumbuhan dalam segmen borong dan runcit didorong oleh perdagangan borong dalam komponen perdagangan borong khusus lain[1] serta perdagangan runcit di kedai barangan bukan khusus.[2]
  • Sementara itu, pertumbuhan bagi segmen kenderaan bermotor kekal kukuh, didorong oleh jualan kereta yang berterusan serta peningkatan dalam jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal.

Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan menurun sedikit

  • Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak  5.3% (November 2025: 5.5%), berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan bagi pinjaman perniagaan (3.7%; November 2025: 5%), manakala pertumbuhan dalam bon korporat terkumpul meningkat kepada 6.9% (November 2025: 5.5%).
  • Pertumbuhan pinjaman perniagaan menurun susulan pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan dalam kalangan bukan PKS, manakala pertumbuhan pinjaman kepada PKS kekal mampan secara keseluruhan. Walaupun pertumbuhan sederhana, jumlah pengeluaran pinjaman keseluruhan adalah lebih tinggi pada bulan Disember.
  • Pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada 5.6% (November 2025: 5.7%) berikutan pertumbuhan pinjaman yang berterusan merentas kebanyakan tujuan.

Penampan aset mudah tunai bank-bank kekal mencukupi untuk menghadapi kemungkinan kejutan mudah tunai

  • Sistem perbankan terus mencatatkan penampan aset mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 154.8% (November 2025: 145.6%).

Kualiti aset bank-bank kekal kukuh

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar kekal stabil pada 1.4%, manakala nisbah pinjaman terjejas bersih menurun sedikit kepada 0.9% (November 2025: 1%).
  • Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 128.7% daripada pinjaman terjejas kasar (November 2025: 124.6%).

Pasaran kewangan domestik dipengaruhi terutamanya oleh pelonggaran dasar monetari AS yang selanjutnya

  • Keadaan kewangan global kekal dipengaruhi oleh trajektori dasar monetari Federal Reserve AS, susulan pemotongan kadar faedahnya pada bulan Disember serta jangkaan pasaran terhadap pelonggaran lanjut pada tahun 2026.
  • Dalam persekitaran ini, ringgit menambah nilai sebanyak 1.8% berbanding dolar AS (NEER[3]: 1%; purata serantau[4]: 0.9%), disokong oleh aliran masuk asing ke dalam pasaran bon domestik.
  • Kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) 10 tahun meningkat sedikit kepada 2 mata asas (purata serantau⁓: -1.7 mata asas) berikutan peningkatan terbitan sekuriti Kerajaan. Sementara itu, FBM KLCI meningkat sebanyak 4.7% (purata serantau⁓: 2.5%), didorong oleh permintaan berterusan daripada pelabur institusi domestik.


Sorotan Bulanan [PDF]


[1] Komponen perdagangan borong khusus lain merangkumi petrol, pelincir, logam, cat, bahan binaan serta kelengkapan dan perkakasan.

[2] Merujuk pasar raya dan gedung serbaneka.

[3] Kadar pertukaran efektif nominal (nominal effective exchange rate)

[4] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan.

 

 


Bank Negara Malaysia
30 Januari 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?