Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Februari 2025

28 Mac 2025 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan menurun pada bulan Februari

  • Pada bulan Februari, inflasi keseluruhan menurun kepada 1.5% (Januari: 1.7%), manakala inflasi teras[1] meningkat kepada 1.9% (Januari: 1.8%).
  • Dari segi komponen, inflasi adalah lebih tinggi bagi sewa rumah, insurans pengangkutan peribadi serta barangan kemas dan jam tangan.
  • Keadaan ini diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah bagi bekalan air dan perkhidmatan kediaman lain, makanan di luar rumah, serta perkhidmatan pengangkutan penumpang udara.

Pertumbuhan sederhana bagi pengeluaran perkilangan

  • Indeks pengeluaran industri perkilangan mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 3.7% pada bulan Januari (Disember 2024: 5.8%) disebabkan oleh pengeluaran industri berorientasikan dalam negeri yang lebih perlahan.
  • Kelompok berorientasikan eksport berkembang sebanyak 5.6% (Disember 2024: 6.8%) berikutan pengembangan dalam subsektor perkilangan komputer dan elektronik (7.9%) serta minyak sayuran dan lemak (8.9%).
  • Pertumbuhan dalam kelompok berorientasikan dalam negeri menurun kepada 0.2% (Disember 2024: 3.7%), terutamanya disebabkan oleh penguncupan dalam perkilangan peralatan pengangkutan (-9.4%). Hal ini berikutan hari bekerja yang lebih sedikit disebabkan oleh cuti umum pada bulan tersebut. Faktor ini mungkin bersifat sementara kerana data pengeluaran automotif bulan Februari menunjukkan trend yang semakin baik berbanding dengan bulan Januari.

Pertumbuhan kredit yang mampan kepada sektor swasta bukan kewangan

  • Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 5.1% (Januari: 5.2%), disokong oleh pertumbuhan stabil bagi pinjaman isi rumah (6%; Januari: 6%) dan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam bon korporat terkumpul (3.8%; Januari: 3.6%).
  • Pertumbuhan pinjaman perniagaan menurun kepada 4.5% (Januari: 5.1%) berikutan pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan untuk modal kerja dan tujuan berkaitan pelaburan[2]. Namun, pertumbuhan pinjaman berkaitan pelaburan untuk PKS adalah stabil berikutan permohonan pinjaman yang mampan dalam segmen ini.
  • Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul kekal stabil pada 6% (Januari: 6%), dengan pertumbuhan yang mampan merangkumi kebanyakan tujuan pinjaman.

Kedudukan mudah tunai sistem perbankan kekal kukuh untuk menyokong pengantaraan kewangan

  • Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 154.4% (Januari: 157.8%).
  • Agregat nisbah pinjaman kepada dana secara amnya kekal stabil pada 83% (Januari: 83.3%).

Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih kekal stabil masing-masing pada 1.5% dan 0.9%.
  • Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal berhemat pada 130.3% daripada pinjaman terjejas kasar (Januari: 128.5%).

Pasaran kewangan domestik terus dipengaruhi oleh kebimbangan dan ketidakpastian terhadap dasar perdagangan AS

  • Pasaran kewangan global mengalami peningkatan volatiliti berikutan pengumuman tarif AS terhadap barangan import dari Mexico, Kanada, China dan EU. Dasar-dasar ini menimbulkan kebimbangan terhadap tekanan inflasi dan potensi kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi di AS.
  • Dalam keadaan ketidakpastian global ini, ringgit menurun sebanyak 1% berbanding dolar AS (NEER: -1%), selaras dengan pergerakan mata wang serantau yang lain (purata[3]: -0.5%).
  • Hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysia Government Securities, MGS) 10 tahun menurun sebanyak 2 mata asas (purata serantau: -13.4 mata asas), manakala FBM KLCI meningkat 1.1% (purata serantau: -3.3%) didorong oleh prospek pendapatan syarikat korporat yang kukuh.

[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.

[2] Terdiri daripada pinjaman untuk pembelian harta tanah bukan kediaman, harta tanah kediaman untuk kegunaan perniagaan, aset tetap, serta aktiviti pembinaan.

[3] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan.

Sorotan Bulanan [PDF]


Bank Negara Malaysia
28 Mac 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?