Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Februari 2026

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Selasa, 31 Mac 2026
31 Mac 2026 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras lebih rendah pada bulan Februari

  • Pada bulan Februari, inflasi keseluruhan dan inflasi teras[1] masing‑masing menurun kepada 1.4% (Januari 2026: 1.6%) dan 2% (Januari 2026: 2.3%).
  • Penurunan inflasi keseluruhan didorong terutamanya oleh inflasi teras yang mereda, termasuk inflasi yang lebih rendah bagi perkhidmatan penstriman dan sewaan.
  • Sebahagian daripada penurunan ini diimbangi oleh tekanan menaik daripada harga perkhidmatan komunikasi mudah alih dan elektrik.[2]

Segmen eksport dan domestik mendorong pertumbuhan perkilangan yang lebih tinggi

  • Indeks Pengeluaran Industri Perkilangan mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 7.3% pada bulan Januari 2026 (Disember 2025: 6.7%).
  • Kelompok berorientasikan eksport berkembang sebanyak 7.8% (Disember 2025: 7.5%), didorong terutamanya oleh subsektor elektrik dan elektronik (E&E) serta jentera dan peralatan.
  • Pertumbuhan kelompok berorientasikan dalam negeri pula mengukuh kepada 6.4% (Disember 2025: 5.2%), disokong oleh pengeluaran yang lebih tinggi bagi produk pemprosesan makanan dan bahan berkaitan pembinaan seperti logam yang direka.

Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan kekal mampan

  • Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.6% (Januari 2026: 5.5%), didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman perniagaan terkumpul (4.6%; Januari 2026: 4%).
  • Peningkatan pertumbuhan pinjaman perniagaan disokong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pinjaman modal kerja dan pinjaman berkaitan pelaburan[3] merentas segmen PKS dan bukan PKS. Mengikut sektor, pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi dicatatkan oleh sektor perkilangan dan perkhidmatan.
  • Pertumbuhan bon korporat dan pinjaman isi rumah secara keseluruhannya kekal stabil, masing‑masing pada 7.4% dan 5.5% (Januari 2026: masing-masing 7.6% dan 5.6%).

Penampan aset mudah tunai bank-bank kekal mencukupi untuk menghadapi kemungkinan kejutan mudah tunai

  • Sistem perbankan terus mencatatkan penampan aset mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 149.4% (Januari 2026: 152.3%).

Kualiti aset bank-bank kekal kukuh

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar terus stabil pada 1.4%, manakala nisbah pinjaman terjejas bersih meningkat sedikit kepada 1% (Januari 2026: 0.9%).
  • Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 124.7% daripada pinjaman terjejas kasar (Januari 2026: 125.9%).

Pasaran kewangan domestik sebahagian besarnya dipengaruhi oleh perkembangan dan ketidakpastian global

  • Pasaran kewangan global dipengaruhi oleh ketidakpastian yang kembali meningkat berhubung dengan tarif Amerika Syarikat (AS) serta ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Timur Tengah.
  • Dalam persekitaran perkembangan global ini, ringgit menambah nilai sebanyak 1.5% berbanding dolar AS (NEER:[4] 1%; purata serantau:[5] 0.8%), berikutan data KDNK yang kukuh pada bulan itu, sekali gus meningkatkan sentimen pasaran.
  • Indeks FBM KLCI menurun sebanyak 1.4% (purata serantau:5 8%) berikutan jualan bersih oleh pelabur institusi domestik. Sementara itu, kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) 10 tahun kekal stabil dengan penurunan kecil sebanyak 2 mata asas (purata serantau:5 -11 mata asas), apabila aliran keluar pelabur bukan pemastautin diimbangi oleh permintaan kukuh daripada pelabur domestik.


Sorotan Bulanan [PDF]


[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.

[2] Kadar diskaun Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (Automatic Fuel Adjustment, AFA) adalah lebih rendah berbanding kadar diskaun pada bulan Januari.

[3] Terdiri daripada pinjaman bagi pembelian harta bukan kediaman, harta kediaman bagi kegunaan perniagaan, aset tetap serta aktiviti pembinaan.

[4] NEER merujuk kadar pertukaran efektif nominal yang mengukur pergerakan ringgit berbanding kumpulan mata wang rakan dagangan utama Malaysia. 

[5] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.


Bank Negara Malaysia
31 Mac 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?