Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Januari 2025

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Jumaat, 28 Februari 2025
28 Feb 2025 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan kekal stabil pada bulan Januari

  • Pada bulan Januari, inflasi keseluruhan kekal stabil pada 1.7% (Disember 2024: 1.7%) manakala inflasi teras[1] meningkat kepada 1.8% (Disember 2024: 1.6%).
  • Dari segi komponen, terdapat tekanan inflasi yang lebih tinggi untuk pengangkutan,[2] pembaikan dan penyelenggaraan untuk kediaman, serta perubahan harga bermusim untuk ikan dan makanan laut lain.
  • Keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah untuk pembentungan dan sayur-sayuran.

Pertumbuhan eksport dan import sederhana pada bulan Januari

  • Pertumbuhan eksport menurun kepada 0.3% (Disember 2024: 16.9%) disebabkan terutamanya oleh penguncupan eksport bukan E&E, khususnya produk petroleum. Walau bagaimanapun, segmen E&E terus berkembang kukuh (14.8%; Disember 2024: 27.9%).
  • Import meningkat sebanyak 6.2% (Disember 2024: 11.9%), didorong terutamanya oleh import barangan modal yang kukuh (45.9%; Disember 2024: 41.3%).
  • Pada masa hadapan, pertumbuhan eksport pada tahun 2025 dijangka kekal stabil dengan disokong oleh permintaan luaran yang mampan dan peningkatan kitaran teknologi global. Walau bagaimanapun, terdapat risiko pertumbuhan eksport menjadi perlahan yang berpunca daripada situasi perdagangan yang semakin tegang.

Pertumbuhan kredit yang mampan kepada sektor swasta bukan kewangan

  • Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 5.3% pada akhir bulan Januari 2025 (Disember 2024: 5.2%), berikutan pertumbuhan yang stabil bagi pinjaman terkumpul (5.7%; Disember
    2024: 5.6%) dan bon korporat (3.6%; Disember 2024: 3.5%).
  • Pertumbuhan pinjaman perniagaan kekal mampan pada 5.2% (Disember 2024: 5.1%). Hal ini disokong oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih tinggi, manakala pertumbuhan pinjaman untuk tujuan pelaburan[3] menjadi sederhana, terutamanya dalam kalangan bukan PKS. Bagi PKS, pertumbuhan pinjaman terkumpul kekal kukuh pada 8.3% (Disember 2024: 8.1%).
  • Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul kekal stabil pada 6% (Disember 2024: 5.9%), dengan pertumbuhan mampan secara amnya bagi kebanyakan tujuan pinjaman.

Kedudukan mudah tunai sistem perbankan kekal kukuh untuk menyokong pengantaraan kewangan

  • Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 157% (Disember 2024: 160.7%).
  • Agregat nisbah pinjaman kepada dana secara amnya kekal stabil pada 83.4% (Disember 2024: 83.2%).

Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar meningkat sedikit kepada 1.5% (Disember 2024: 1.4%) namun nisbah pinjaman terjejas bersih kekal stabil pada 0.9%.
  • Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 128.6%[4] daripada pinjaman terjejas (Disember 2024: 129%).

Pasaran kewangan domestik kekal berdaya tahan dalam keadaan perkembangan berhubung dengan dasar ekonomi dan monetari Amerika Syarikat

  • Pasaran kewangan global dipengaruhi oleh jangkaan mengenai dasar ekonomi Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran baharu dan trajektori dasar monetari Federal Reserve AS (Fed). Semasa mesyuarat pada bulan Januari, Fed mengekalkan kadar dasar pada 4.25%-4.5%, serta mengisyaratkan penurunan kadar yang berkurang pada tahun 2025 di samping semakan menaik bagi unjuran inflasi dan pertumbuhan AS.
  • Meskipun begitu, ringgit menambah nilai sebanyak 1.1% berbanding dolar AS, sejajar dengan pergerakan mata wang serantau yang lain (purata[5]: 0.3%). Sementara itu, kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysia Government Securities, MGS) 10 tahun kekal stabil secara amnya (-1.0 mata asas).
  • FBM KLCI pula menurun sebanyak 5.2% berikutan aliran keluar bersih ekuiti asing. Keadaan ini didorong terutamanya oleh penjualan saham yang berkaitan dengan kecerdasan buatan (artificial
    intelligence
    ) dan pusat data.

[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.

[2] Termasuk RON97 dan kereta.

[3] Terdiri daripada pinjaman untuk pembelian harta tanah bukan kediaman, harta tanah kediaman bagi kegunaan perniagaan, aset tetap, serta aktiviti pembinaan.

[4] Awalan

[5] Negara serantau terdiri daripada: Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan

Sorotan Bulanan [PDF]


Bank Negara Malaysia
28 Februari 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?