Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Januari 2026
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal stabil pada bulan Januari
- Pada bulan Januari, inflasi keseluruhan dan inflasi teras[1] tidak berubah masing-masing pada 1.6% dan 2.3%.
- Inflasi yang lebih tinggi dicatatkan dalam barang kemas dan jam tangan, selaras dengan harga logam berharga yang lebih tinggi, manakala harga elektrik menurun pada kadar yang lebih perlahan berikutan diskaun berkaitan kos penjanaan yang lebih rendah.
- Kesemua kesan ini diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah bagi petrol (RON97) dan perkhidmatan IHP teras yang terpilih, termasuk perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan rumah serta perkhidmatan penstriman.
Prestasi eksport kukuh manakala import menurun
- Pertumbuhan eksport meningkat pantas kepada 19.6% (Disember 2025: 10.2%), berikutan pertumbuhan kukuh dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).
- Pertumbuhan import menurun kepada 5.3% (Disember 2025: 9.5%) susulan penurunan yang menyeluruh merentas semua komponen.
- Lebihan dagangan rendah sedikit pada RM21.4 bilion (Disember 2025:RM22.1 bilion) kerana prestasi eksport yang kukuh sebahagiannya diimbangi oleh paras import yang tinggi.
Pertumbuhan kredit sektor swasta bukan kewangan mampan
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 5.5% (Disember 2025: 5.4%), mencerminkan terutamanya pertumbuhan dalam bon korporat terkumpul yang lebih tinggi (7.6%; Disember 2025: 6.9%). Pertumbuhan bagi pinjaman terkumpul mampan pada bulan tersebut (5%; Disember 2025: 5%).
- Pinjaman perniagaan berkembang sebanyak 4% (Disember 2025: 3.9%), disokong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pinjaman berkaitan pelaburan,[2] terutamanya dalam kalangan bukan PKS. Sementara itu, pertumbuhan pinjaman PKS pada amnya berterusan.
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada 5.6% (Disember 2025: 5.6%) berikutan pertumbuhan pinjaman yang berterusan merentas kebanyakan tujuan.
Permodalan institusi perbankan kekal kukuh untuk menyokong pertumbuhan kredit
- Kedudukan permodalan institusi perbankan kekal kukuh pada 18.1%, lantas membolehkan sokongan yang berterusan terhadap pengantaraan kredit serta menyediakan penampan untuk menyerap kerugian yang tidak dijangka.
- Sistem perbankan mencatatkan lebihan penampan modal[3] sebanyak RM139.6 bilion pada bulan Januari 2026.
Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan nisbah pinjaman terjejas bersih masing-masing kekal stabil pada 1.4% dan 0.9%.
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal mencukupi untuk menampung kerugian pinjaman, berada pada 125.9% daripada pinjaman terjejas kasar (Disember 2025: 127.2%).
Pasaran kewangan domestik dipengaruhi oleh perkembangan dalam negeri dan juga luaran
- Pasaran kewangan global dipengaruhi oleh sentimen yang lebih lemah terhadap dolar AS berikutan ketidakpastian geopolitik dan tarif. Perkembangan luaran ini, seiring dengan sentimen positif terhadap asas-asas ekonomi Malaysia dan prospek ekonomi Malaysia yang menggalakkan, menyokong aliran masuk portfolio asing ke dalam pasaran domestik.
- Berlatarkan persekitaran ini, ringgit menambah nilai sebanyak 2.9% berbanding dolar AS (NEER:[4] 2.2%; purata serantau:[5] 0.3%) dan FBM KLCI meningkat sebanyak 3.6% (purata serantau: 7.1%).
- Meskipun terbitan bersih Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) lebih tinggi sepanjang bulan tersebut, kadar hasil pada amnya kekal stabil. Permintaan yang berterusan daripada pelabur bukan pemastautin menyerap bekalan tambahan, sekali gus mengehadkan tekanan menaik terhadap kadar hasil MGS 10 tahun, yang hanya meningkat 1 mata asas (purata serantau: 9 mata asas).
Sorotan Bulanan [PDF]
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Terdiri daripada pinjaman untuk pembelian harta bukan kediaman, harta kediaman untuk kegunaan perniagaan, aset tetap serta untuk aktiviti pembinaan.
[3] Merujuk jumlah modal yang melebihi tahap pengawalseliaan minimum yang termasuk penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum khusus bagi setiap bank yang lebih tinggi.
[4] NEER merujuk kadar pertukaran efektif nominal yang mengukur pergerakan ringgit berbanding kumpulan mata wang rakan perdagangan utama Malaysia.
[5] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.