Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Julai 2025

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Jumaat, 29 Ogos 2025
29 Ogo 2025 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan meningkat, manakala inflasi teras kekal tidak berubah

  • Pada bulan Julai, inflasi keseluruhan meningkat sedikit kepada 1.2% (Jun: 1.1%), manakala inflasi teras[1] kekal tidak berubah pada 1.8% (Jun: 1.8%).
  • Inflasi keseluruhan yang lebih tinggi mencerminkan inflasi teras yang berterusan serta peningkatan dalam komponen bukan teras terpilih seperti sayur-sayuran segar dan tambang penerbangan.
  • Peningkatan ini sebahagiannya diimbangi oleh penurunan dalam IHP elektrik, yang mencerminkan penstrukturan semula tarif elektrik sepanjang bulan tersebut. Khususnya, bil elektrik menjadi lebih rendah bagi kebanyakan isi rumah berikutan kadar tarif domestik yang lebih rendah dan rebat untuk penggunaan elektrik yang lebih rendah di bawah Insentif Kecekapan Tenaga.

Pertumbuhan eksport berubah positif, manakala pertumbuhan import sederhana pada bulan Julai

  • Eksport kasar meningkat sebanyak 6.8% (Jun: -3.6%), didorong terutamanya oleh pertumbuhan kukuh eksport elektrikal dan elektronik (electrical and electronic, E&E). Eksport bukan E&E menguncup disebabkan terutamanya oleh produk petroleum dan kimia, manakala eksport komoditi yang lebih rendah didorong oleh minyak sawit dan gas asli cecair (liquefied natural gas, LNG).
  • Pertumbuhan import menjadi sederhana kepada 0.6% (Jun: 1.2%) berikutan penurunan import pengantara.
  • Pada masa hadapan, permintaan luaran yang semakin sederhana dijangka terus mempengaruhi eksport.

Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan lebih tinggi

  • Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 5.5% (Jun: 5.2%), didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman perniagaan terkumpul (4.9%; Jun: 4.5%) dan bon korporat terkumpul (4.8%; Jun: 4.3%).
  • Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat, didorong oleh pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi untuk tujuan berkaitan pelaburan[2] dalam kalangan bukan PKS. Pertumbuhan pinjaman PKS pula meningkat disebabkan oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman modal kerja.
  • Pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada 6% (Jun: 6%), dengan pertumbuhan yang berterusan merentas kebanyakan tujuan pinjaman.

Perkembangan pasaran kewangan domestik didorong oleh jangkaan dasar monetari AS dan ketidakpastian dasar perdagangan AS

  • Perkembangan tarif pada masa ini terus mempengaruhi pasaran kewangan global. Selain itu, kenaikan inflasi AS pada bulan Jun bersama-sama dengan data ekonomi AS yang lebih kukuh daripada jangkaan mendorong peserta pasaran untuk mengurangkan jangkaan terhadap pengurangan kadar dasar oleh Federal Reserve AS pada bulan September.
  • Berlatarkan keadaan ini, ringgit menurun nilai sebanyak 0.9% berbanding dolar AS (NEER: 0.3%; purata serantau[3]: -1.9%). Sementara itu, kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) 10 tahun menurun berkurang 10.0 mata asas (purata serantau3: -7.2 bps) berikutan pengurangan OPR dalam mesyuarat MPC bulan Julai serta prospek fiskal yang positif.
  • Sebaliknya, FBM KLCI menurun sebanyak 1.3% (purata serantau3: 6.2%) berikutan aliran keluar ekuiti asing.

Permodalan institusi perbankan kekal kukuh untuk menyokong pertumbuhan ekonomi

  • Permodalan sistem perbankan kekal kukuh pada 18.4%, memastikan sokongan yang berterusan kepada pengantaraan kredit dan keupayaan untuk menghadapi kejutan potensi dalam ekonomi.
  • Sistem perbankan mencatatkan lebihan penampan modal[4] sebanyak RM143.3 bilion setakat Julai 2025.

Kualiti aset sistem perbankan kekal stabil

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar dan nisbah pinjaman terjejas bersih masing-masing kekal rendah pada 1.4% dan 0.9%, berikutan para peminjam terus berupaya untuk membayar balik pinjaman.
  • Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat iaitu 128.9% daripada pinjaman terjejas kasar (Jun: 130.4%).

[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.

[2] Terdiri daripada pinjaman bagi pembelian harta tanah bukan kediaman, harta tanah kediaman bagi kegunaan perniagaan, aset tetap serta aktitiviti pembinaan.

[3] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan.

[4] Merujuk jumlah modal melebihi paras minimum pengawalseliaan yang termasuk penampan pemeliharaan modal (2.5%) dan keperluan minimum tambahan khusus bagi setiap bank.

 

Lihat juga:

Sorotan Bulanan [PDF]


Bank Negara Malaysia
29 Ogos 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?