Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Julai 2026
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras lebih rendah pada bulan Julai
- Inflasi keseluruhan dan inflasi teras[1] menurun sedikit kepada 1.8% (Jun 2026: 1.9%) mencerminkan tekanan kos luaran yang semakin reda serta kadar inflasi yang lebih rendah bagi beberapa item teras.
- Inflasi keseluruhan yang lebih rendah didorong oleh inflasi bahan api runcit yang lebih perlahan, terutamanya bagi diesel dan RON97[2].
- Inflasi teras yang lebih rendah turut menyumbang kepada penurunan tersebut, terutamanya disebabkan oleh inflasi insurans kesihatan, barang kemas dan jam tangan yang lebih rendah sejajar dengan harga emas global yang lebih sederhana.
Lebihan dagangan meningkat berikutan eksport berkaitan teknologi yang terus kukuh
- Lebihan dagangan meningkat kepada RM22.5 bilion (Jun 2026: RM15.8 bilion), didorong oleh eksport yang terus kukuh dan jauh melebihi peningkatan import.
- Dari segi pertumbuhan, eksport kekal kukuh meskipun menurun sedikit pada 38% (Jun 2026: 45.5%), didorong oleh:
- Eksport E&E yang utuh (51%; Jun 2026: 56.9%), terutamanya semikonduktor (69.8%; Jun 2026: 76.7%) berikutan permintaan global terhadap produk teknologi yang berterusan.
- Eksport bukan E&E kekal kukuh pada 33.5% (Jun 2026: 37.3%), disokong oleh pertumbuhan berterusan eksport petroleum bertapis dan produk berkaitan teknologi.
- Pertumbuhan import pula kekal tinggi pada 36.4% (Jun 2026: 43.1%) meskipun lebih rendah berbanding bulan sebelumnya, mencerminkan pertumbuhan import modal yang lebih perlahan.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan kekal mampan
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 6.5% (Jun 2026: 6.4%), mencerminkan pertumbuhan berterusan bagi pinjaman terkumpul (6.1%; Jun 2026: 6%) dan bon korporat (8%; Jun 2026: 8.1%).
- Pertumbuhan pinjaman perniagaan terus meningkat (7.5%; Jun 2026: 7.2%), didorong terutamanya oleh pinjaman modal kerja. Dari segi pertumbuhan pinjaman mengikut sektor, sektor perkilangan dan perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi.
- Sementara itu, pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal tidak berubah pada 5.3% (Jun 2026: 5.3%), disokong oleh pertumbuhan pinjaman yang stabil bagi kebanyakan tujuan.
Institusi perbankan terus mengekalkan tahap penampan mudah tunai yang baik
- Sistem perbankan terus mengekalkan penampan mudah tunai yang mencukupi dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai (Liquidity Coverage Ratio, LCR) pada 148.7% (Jun 2026: 149.6%). Tahap ini jauh melebihi keperluan minimum pengawalseliaan serta menyokong daya tahan institusi perbankan terhadap kemungkinan kejutan mudah tunai.
Kualiti aset institusi perbankan kekal kukuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan nisbah pinjaman terjejas bersih secara keseluruhannya kekal tidak berubah masing-masing pada 1.4% dan 1%.
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 125% daripada pinjaman terjejas kasar (Jun 2026: 124.6%).
Pasaran kewangan terus dipengaruhi oleh jangkaan berhubung dengan dasar monetari AS berikutan ketidaktentuan geopolitik
- Sepanjang bulan tersebut, ketegangan geopolitik yang kembali memuncak di Timur Tengah menimbulkan kebimbangan terhadap risiko tekanan inflasi yang berpanjangan, sekali gus menyumbang kepada jangkaan pasaran terhadap pengetatan dasar monetari di AS.
- Dalam persekitaran global semasa ini, ringgit secara keseluruhannya kekal stabil berbanding dolar AS dengan penyusutan kecil sebanyak 0.5% (NEER:[3] -1.2%, purata serantau:[4] 1.4%), manakala kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 10 mata asas (purata serantau: 24.4 mata asas). Peningkatan ini sejajar dengan peningkatan kadar hasil bon global dan serantau.
- Sementara itu, FBM KLCI meningkat sebanyak 3.7% (purata serantau: 0.5%), disokong oleh aliran masuk dana bukan pemastautin berikutan prospek pertumbuhan ekonomi dalam negeri yang positif.
Muat turun Sorotan Bulan dalam format PDF
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Pada bulan Julai, pengguna rakyat Malaysia layak menikmati harga diesel bersubsidi pada RM2.10 seliter bagi penggunaan hingga 200 liter sebulan di bawah program BUDI Diesel. Harga runcit purata RON97 juga menurun kepada RM4.07 seliter pada bulan Julai 2026 (Jun 2026: RM4.33 seliter).
[3] NEER merujuk kadar pertukaran efektif nominal yang mengukur pergerakan ringgit berbanding kumpulan mata wang rakan dagangan utama Malaysia.
[4] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.