Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Jun 2025

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Khamis, 31 Julai 2025
31 Jul 2025 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan menurun sedikit, manakala inflasi teras kekal tidak berubah

  • Pada bulan Jun, inflasi keseluruhan terus mereda kepada 1.1% (Mei 2025: 1.2%), manakala inflasi teras[1] kekal tidak berubah pada 1.8% (Mei 2025: 1.8%).
  • Penurunan inflasi keseluruhan sebahagian besarnya didorong oleh inflasi yang lebih rendah dalam komponen bukan teras, terutamanya makanan segar, diesel dan pengangkutan penumpang udara.
  • Sementara itu, peningkatan inflasi bagi beberapa barangan teras terpilih, seperti makanan di luar rumah dan perkhidmatan penstriman, sebahagian besarnya diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah bagi perkhidmatan komunikasi mudah alih dan konsol permainan video.

 Pertumbuhan berterusan dalam perdagangan borong dan runcit pada bulan Mei

  • Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) berkembang sebanyak 4.1% pada bulan Mei (April 2025: 4.3%).
  • Pertumbuhan yang lebih tinggi dalam segmen runcit dipacu oleh jualan runcit kelengkapan isi  rumah lain di kedai khusus[2]. Pengembangan dalam segmen borong disokong oleh aktiviti borong barangan rumah[3].
  • Sementara itu, segmen kenderaan motor mencatatkan pertumbuhan kecil, didorong oleh jualan, penyenggaraan dan pembaikan alat ganti serta aksesori berkaitan motosikal.

 Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan terus mampan

  • Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 2% (Mei 2025: 5.4%), didorong oleh pertumbuhan yang stabil dalam pinjaman terkumpul (5.5%; Mei 2025: 5.5%), manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul menurun (4.3%; Mei 2025: 4.7%).
  • Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul secara amnya stabil pada 4.5% (Mei 2025: 4.7%), berikutan pertumbuhan pinjaman yang berterusan bagi tujuan berkaitan pelaburan[4], khususnya dalam kalangan PKS.
  • Pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada 6% (Mei 2025: 6%) berikutan pertumbuhan berterusan merentas kebanyakan tujuan pinjaman.

 Pasaran kewangan domestik terus didorong oleh ketidakpastian global yang berterusan

  • Pasaran kewangan global kekal sebahagian besarnya dipengaruhi oleh ketidakpastian yang berterusan berkaitan dasar tarif Amerika Syarikat, khususnya menjelang tamat tempoh perdamaian sementara perdagangan selama 90 hari pada bulan Julai. Ketegangan geopolitik yang meningkat turut menambah kepada ketidakpastian pasaran kewangan global berikutan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak.
  • Berlatarkan hal ini, ringgit menambah nilai sebanyak 0.5% berbanding dolar AS (NEER: -0.2%; purata serantau[5]: 0.3%), disokong oleh kelembapan dolar AS secara menyeluruh yang berterusan.
  • FBM KLCI meningkat sebanyak 1.6% (purata serantau[5]: 1.5%), selaras dengan pergerakan pasaran ekuiti serantau. Sementara itu, hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) 10 tahun menurun sebanyak 5.0 mata asas (purata serantau[5]: 1.5 mata asas).

 Kedudukan mudah tunai sistem perbankan terus menyokong aktiviti pengantaraan kewangan

  • Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 160.6% (Mei 2025: 150.4%).
  • Agregat nisbah pinjaman kepada dana secara amnya kekal stabil pada 83.3% (Mei 2025: 83.6%).

 Kualiti aset bank-bank kekal kukuh

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar menurun sedikit kepada 1.4% (Mei 2025: 1.5%), namun nisbah pinjaman terjejas bersih kekal stabil pada 0.9%.
  • Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 130.3% daripada pinjaman terjejas kasar (Mei 2025: 129%).

 


[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.

[2]  Merujuk kelengkapan isi rumah seperti tekstil, barangan isi rumah dan bahan-bahan pembinaan. 

[3] Merujuk peralatan perdagangan borong isi rumah seperti pakaian, barangan farmaseutikal, barang kemas dan kelengkapan isi rumah.

[4] Terdiri daripada pinjaman bagi pembelian harta tanah bukan kediaman, harta tanah kediaman bagi kegunaan perniagaan, aset tetap serta aktiviti pembinaan.

[5] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan.

 

Lihat juga:

Sorotan Bulanan [PDF]


Bank Negara Malaysia
31 Julai 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?