Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Jun 2026
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras menurun sedikit pada bulan Jun
- Inflasi keseluruhan dan inflasi teras[1] menurun sedikit kepada 1.9% (Mei 2026: 2%), mencerminkan tekanan kos luaran yang semakin reda dan inflasi yang lebih rendah merentas beberapa barangan teras.
- Penurunan dalam inflasi keseluruhan sebahagian besarnya didorong oleh inflasi bahan api runcit yang lebih rendah, khususnya untuk RON97 dan diesel[2].
- Inflasi teras yang lebih rendah juga menyumbang kepada penurunan tersebut, mencerminkan terutamanya kesan asas daripada peningkatan inflasi perkhidmatan penstriman pada bulan Jun 2025, seiring dengan inflasi yang lebih rendah untuk barang kemas dan jam berikutan harga emas global yang lebih rendah.
Pertumbuhan perdagangan runcit diimbangi oleh perdagangan borong yang menurun dan jualan kenderaan motor yang lebih rendah
- Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) menurun kepada 3.1% pada bulan Mei 2026 (April 2026: 6.2%).
- Pertumbuhan dalam segmen runcit bertambah baik (4.4%; April 2026: 3.9%) didorong terutamanya oleh kedai yang bukan khusus[3] dan jualan bahan automotif runcit di kedai-kedai khusus.[4]
- Walau bagaimanapun, keadaan ini telah lebih daripada diimbangi oleh perdagangan borong yang sederhana dan penurunan dalam segmen kenderaan motor. Hal ini disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan yang lebih rendah bagi perdagangan borong khusus lain,[5] perdagangan borong barangan isi rumah dan jualan kenderaan motor yang lebih rendah.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan yang berterusan
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan kekal stabil pada 6.4%
(Mei 2026: 6.4%), mencerminkan pertumbuhan berterusan dalam pinjaman terkumpul (6%; Mei 2026: 6%) dan bon korporat terkumpul (8.1%; Mei 2026: 8%). - Trend pertumbuhan pinjaman perniagaan terus meningkat (7.2%; Mei 2026: 7%), didorong terutamanya oleh pinjaman kepada bukan PKS, terutamanya untuk tujuan modal kerja.
- Pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 5.3% (Mei 2026: 5.5%) berikutan pertumbuhan stabil merentas kebanyakan tujuan.
Kualiti aset institusi perbankan kekal kukuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan nisbah pinjaman terjejas bersih secara am tidak berubah, masing-masing pada kadar 1.4% dan 1%.
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 124.6% daripada pinjaman terjejas kasar (Mei 2026: 124.1%).
Institusi perbankan mengekalkan penampan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi lantas memastikan daya tahan menghadapi kemungkinan kejutan mudah tunai
- Sistem perbankan terus mencatatkan penampan aset mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 149.7% (Mei 2026: 149.2%).
Pasaran kewangan terus dibentuk oleh jangkaan yang berubah-ubah terhadap hala tuju kadar dasar AS
- Pasaran kewangan global sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan jangkaan bahawa kadar dasar mungkin akan dinaikkan oleh Federal Reserve AS menjelang akhir tahun 2026. Jangkaan ini disokong oleh data pasaran pekerja yang lebih tinggi daripada jangkaan, bacaan inflasi yang lebih tinggi dan unjuran ekonomi Federal Reserve yang dikemas kini.
- Berikutan perkembangan global ini, ringgit menurun nilai sebanyak 2.6% berbanding dolar AS (NEER[6]: -1.6%) pada bulan Jun (purata serantau[7]: -1.2%), susulan pengukuhan nilai dolar AS.
Kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 4 mata asas berikutan terbitan bon bersih yang lebih tinggi (purata serantau7: -8.6 mata asas). Sementara itu, FBM KLCI menurun sebanyak 1.1% (purata serantau7: 0.2%) didorong oleh aliran keluar bukan pemastautin.
Muat turun Sorotan Bulan dalam format PDF
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Harga runcit purata RON97 dan diesel masing-masing menurun kepada RM4.33 seliter dan RM4.50 seliter pada bulan Jun 2026 (Mei 2026: RM4.81 seliter dan RM5.01 seliter). Harga diesel di Sabah dan Sarawak kekal pada kadar bersubsidi RM2.15 seliter.
[3] Merujuk pasar raya dan gedung serbaneka.
[4] Merujuk bahan api untuk kenderaan motor dan motosikal serta produk pelincir dan penyejuk untuk kenderaan motor.
[5] Merujuk bahan binaan borong serta perdagangan berkaitan logam dan komoditi.
[6] NEER merujuk kadar pertukaran efektif nominal yang mengukur pergerakan ringgit berbanding kumpulan mata wang rakan dagangan utama Malaysia.
[7] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.