Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Mac 2025

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Rabu, 30 April 2025
30 Apr 2025 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan menurun pada bulan Mac

  • Pada bulan Mac, inflasi keseluruhan menurun kepada 1.4% (Februari: 1.5%) manakala inflasi teras kekal[1] stabil pada 1.9% (Februari: 1.9%).
  • Perbezaan ini sebahagiannya disebabkan oleh luputnya kesan dasar terhadap komponen Indeks Harga Pengguna (IHP) bukan teras, termasuk tarif air dan elektrik. Komponen ini meningkat pada tempoh yang sama tahun lepas. Oleh itu, hal ini telah mempengaruhi inflasi keseluruhan.
  • Tambahan lagi, inflasi bagi komponen IHP bukan teras lain seperti makanan segar dan RON97 mencatatkan trend menurun, selaras dengan harga komoditi yang semakin berkurang.

Pertumbuhan berterusan dalam perdagangan borong dan runcit pada bulan Februari

  • Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) meningkat sebanyak 3.9% pada bulan Februari 2025 (Januari: 3.8%).
  • Pertumbuhan yang lebih tinggi dalam segmen borong didorong oleh perdagangan borong jentera, peralatan dan bekalan.[2] Segmen runcit terus berkembang, walaupun pada kadar sederhana, disokong oleh jualan runcit di kedai barangan bukan khusus.[3]
  • Sementara itu, segmen kenderaan bermotor terus menguncup, meskipun pada magnitud yang lebih kecil. Hal ini mencerminkan penjualan kereta yang kembali normal selepas mencatatkan paras tertinggi bagi tempoh tiga tahun lalu.

Pertumbuhan lebih tinggi dalam kredit kepada sektor swasta bukan kewangan

  • Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 5.5% pada akhir bulan Mac 2025 (Februari: 5.1%), didorong oleh pertumbuhan bon korporat terkumpul yang lebih tinggi (5.3%; Februari: 3.8%) dan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang berterusan (5.6%; Februari: 5.5%).
  • Pertumbuhan pinjaman terkumpul perniagaan meningkat kepada 4.8% (Februari: 4.5%), berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi untuk tujuan modal kerja, terutamanya dalam kalangan bukan PKS.
  • Pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada 6% (Februari: 6%), dengan pertumbuhan berterusan merentas kebanyakan tujuan pinjaman.

Pasaran kewangan domestik terus dipengaruhi oleh ketidakpastian berkaitan kesan dasar perdagangan AS

  • Pasaran kewangan global mengalami volatiliti ketara yang didorong oleh ketidakpastian yang meningkat berhubung dengan dasar perdagangan AS. Sentimen pelabur merosot berikutan kebimbangan yang semakin meningkat tentang kelembapan ekonomi global dan peningkatan jangkaan pasaran untuk pemotongan kadar dasar AS yang lebih besar.
  • Dalam keadaan terdapat kebimbangan terhadap ekonomi AS dan dolar AS, ringgit menambah nilai sebanyak 0.7% berbanding dolar AS (NEER: 0.2%; purata serantau[4]: 0.4%).
  • Sementara itu, hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) 10 tahun menurun sebanyak 2 mata asas (purata serantau[4]: 3.6 mata asas). Indeks FBM KLCI menurun sebanyak 3.9% (purata serantau[4]: 1.4%) berikutan aliran keluar asing bersih, yang dipacu oleh peningkatan penghindaran risiko dalam kalangan pelabur.

Kedudukan mudah tunai sistem perbankan kekal kukuh untuk menyokong pengantaraan kewangan

  • Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 151.6% (Februari: 154.4%).
  • Agregat nisbah pinjaman kepada dana meningkat sedikit kepada 83.9% (Februari: 83%) didorong oleh pertumbuhan pinjaman yang berterusan.

Kualiti aset bank-bank kekal kukuh

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar menurun kepada 1.4% (Februari: 1.5%), namun nisbah pinjaman terjejas bersih kekal stabil pada 0.9%.
  • Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 131.3% daripada pinjaman terjejas kasar (Februari: 130.3%).

 

 

 

[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.

[2] Perdagangan borong bagi jentera, peralatan dan bekalan merangkumi perkakasan komputer, jentera pertanian, serta perabot pejabat

[3] Merujuk pasar raya dan gedung beli-belah.

[4] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan

Lihat juga:
Sorotan Bulanan [PDF]


Bank Negara Malaysia
30 April 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?