Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Mac 2026

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Khamis, 30 April 2026
30 Apr 2026 Siaran Akhbar

 Inflasi meningkat pada bulan Mac, mencerminkan harga bahan api yang lebih tinggi

  • Pada bulan Mac, inflasi keseluruhan dan inflasi teras[1] masing-masing meningkat kepada 1.7% dan 2.1% (Februari 2026: 1.4% dan 2%).
  • Peningkatan inflasi keseluruhan didorong terutamanya oleh harga runcit bahan api yang lebih tinggi, selaras dengan harga minyak global yang meningkat, walaupun kesan keseluruhan telah diimbangi oleh subsidi bersasar yang berterusan untuk RON95 dan diesel.[2]
  • Sebahagian daripada peningkatan ini diimbangi oleh harga makanan segar yang lebih rendah terutamanya hasil laut dan daging.

IOWRT mencatatkan pertumbuhan sederhana, disokong oleh keuntungan perdagangan borong dan runcit serta diimbangi oleh penguncupan segmen kenderaan

  • Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) menjadi sederhana kepada 4.4% pada bulan Februari (Januari 2026: 5.8%).
  • Pertumbuhan dalam segmen borong dan runcit menunjukkan peningkatan. Peningkatan ini masing-masing didorong terutamanya oleh perdagangan borong makanan, minuman, tembakau dan barangan isi rumah; serta perdagangan runcit di kedai barangan bukan khusus[3] dan jualan runcit peralatan isi rumah lain di kedai barangan khusus.[4]
  • Walau bagaimanapun, peningkatan ini diimbangi sebahagian besarnya oleh penurunan dalam segmen kenderaan bermotor disebabkan oleh jualan kereta yang lebih rendah serta jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal.

Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan kekal mampan pada bulan Mac

  • Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.6% (Februari 2026: 5.6%), disokong oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi (5.6%; Februari 2026: 5.1%). Sebaliknya, pertumbuhan bon korporat terkumpul menjadi sederhana kepada 5.8% (Februari 2026: 7.4%) disebabkan oleh terbitan bon yang lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
  • Pertumbuhan pinjaman perniagaan meningkat kepada 5.8% (Februari 2026: 4.6%) susulan pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi dalam kalangan bukan PKS, terutamanya bagi tujuan modal kerja. Sementara itu, pertumbuhan pinjaman berkaitan pelaburan[5] kekal stabil merentas segmen PKS dan bukan PKS.
  • Pertumbuhan pinjaman isi rumah stabil pada kadar 5.4% (Februari 2026: 5.5%) berikutan pertumbuhan pinjaman yang berterusan merentas kebanyakan tujuan.

Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar dan nisbah pinjaman terjejas bersih kekal stabil masing-masing pada kadar 1.4% dan 1%.
  • Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 125% daripada pinjaman terjejas kasar (Februari 2026: 124.7%).

Aset mudah tunai yang tinggi untuk menampan sebarang kejutan mudah tunai

  • Sistem perbankan terus mencatatkan penampan aset mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 144.6% (Februari 2026: 149.4%).

Konflik Asia Barat yang semakin genting menjejaskan pasaran kewangan global dan pasaran kewangan domestik

  • Konflik Asia Barat yang semakin genting telah menyebabkan ketidakpastian geopolitik yang tinggi, lantas menyumbang kepada sentimen pelabur global yang lebih berhati-hati dengan kesan limpahan kepada pasaran kewangan domestik.
  • Dolar AS mengukuh, mencerminkan sentimen penghindaran risiko pada peringkat global. Ringgit menurun nilai sebanyak 3.8% berbanding dolar AS (NEER[6]: -1.8%), secara amnya selaras dengan prestasi rakan serantau (purata serantau:[7] -3.6%).
  • Kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 15 mata asas (purata serantau:7 +55 mata asas), selaras dengan pergerakan kadar hasil bon di luar negara berikutan jangkaan inflasi global yang lebih tinggi. Sementara itu, FBM KLCI menurun sebanyak 1.5% (purata serantau:7 -10.2%), mencerminkan sentimen pelabur yang berhati-hati berikutan risiko geopolitik yang ketara.

 

Muat turun Sorotan Bulan dalam format PDF

Bank Negara Malaysia
30 Mac 2026

 

[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.

[2] Setakat bulan Mac 2026, pengguna Malaysia masih layak menikmati harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter untuk penggunaan hingga 300 liter di bawah program BUDI95. Pengguna diesel di Sabah dan Sarawak juga menikmati harga bersubsidi pada RM2.15 seliter.

[3] Merujuk pasar raya dan gedung serbaneka.

[4] Merujuk bahan binaan, perkakasan, permaidani, langsir, kertas dinding dan perabot isi rumah.

[5] Terdiri daripada pinjaman bagi pembelian harta bukan kediaman, harta kediaman bagi kegunaan perniagaan, aset tetap serta aktiviti pembinaan.

[6] NEER merujuk kadar pertukaran efektif nominal yang mengukur pergerakan ringgit berbanding kumpulan mata wang rakan dagangan utama Malaysia.

[7] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.


Bank Negara Malaysia
30 April 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?