Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Mei 2025
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras lebih rendah pada bulan Mei
- Pada bulan Mei, inflasi keseluruhan menurun kepada 1.2% (April 2025: 1.4%), manakala inflasi teras[1] menjadi sederhana kepada 1.8% (April 2025: 2%).
- Beberapa barangan bukan teras terpilih telah menyumbang kepada inflasi keseluruhan yang lebih rendah termasuk sayur-sayuran segar dan petrol. Hal ini sejajar dengan harga komoditi yang lebih rendah.
- Penurunan inflasi teras sebahagian besarnya didorong oleh inflasi yang lebih rendah untuk perkhidmatan sewaan dan penstriman.
Pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pengeluaran perkilangan
- Indeks pengeluaran perindustrian perkilangan mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.6% pada bulan April (Mac 2025: 4%).
- Kelompok berorientasikan eksport berkembang sebanyak 6.4% pada bulan April (Mac 2025: 4.8%), didorong oleh pengeluaran yang lebih tinggi bagi barangan elektrik dan elektronik (electrical and electronics, E&E) serta barangan berkaitan pengguna seperti sayur-sayuran serta minyak dan lemak haiwan.
- Pertumbuhan kelompok berorientasikan dalam negeri terus meningkat sebanyak 3.9% pada bulan April (Mac 2025: 2.3%), mencerminkan pengeluaran yang lebih tinggi bagi produk pemprosesan makanan dan bahan binaan seperti logam asas dan logam yang direka.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan kekal berterusan
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.4% pada bulan Mei (April 2025: 5.4%), susulan pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul yang lebih tinggi (5%; April 2025: 4.4%), manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul menjadi sederhana (4.7%; April 2025: 5.5%).
- Pertumbuhan pinjaman perniagaan meningkat kepada 5% (April 2025: 4.4%) disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih tinggi, khususnya dalam kalangan bukan PKS. Pertumbuhan pinjaman berkaitan pelaburan[2] mampan merentas segmen.
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada 6% (April 2025: 6%) berikutan pertumbuhan yang berterusan merentas kebanyakan tujuan pinjaman.
Pasaran kewangan domestik terus dipengaruhi terutamanya oleh perkembangan berkaitan tarif AS
- Keadaan kewangan global menjadi reda pada bulan Mei susulan pengumuman penangguhan tarif selama 90 hari oleh pentadbiran AS. Pelaburkekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan yang berlanjutan berhubung dengan perkembangan tarif dan risiko ekonomi global menjadi perlahan.
- Ringgit menambah nilai sebanyak 1.9% berbanding dolar AS (NEER: 0.7%; purata serantau[3]: 2.1%), didorong terutamanya oleh kelemahan dolar AS yang menyeluruh.
- FBM KLCI menurun sebanyak 2.1% (purata serantau³: 1.8%). Kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) 10 tahun menurun sebanyak 14 mata asas (purata serantau³: 0.4 mata asas), dalam keadaan aliran masuk asing bersih ke dalam pasaran bon domestik.
Kedudukan mudah tunai sistem perbankan kekal kukuh untuk menyokong pengantaraan kewangan
- Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 150.4% pada bulan Mei (April 2025: 156.1%).
- Agregat nisbah pinjaman kepada dana meningkat sedikit kepada 83.6% (April 2025: 83.3%) didorong oleh pertumbuhan pinjaman yang berterusan.
Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar meningkat sedikit kepada 1.5% pada bulan Mei (April 2025: 1.4%), namun nisbah pinjaman terjejas bersih kekal stabil pada 0.9%.
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal berhemat pada 128.9% daripada pinjaman terjejas kasar (April 2025: 131.1%).
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Terdiri daripada pinjaman bagi pembelian harta bukan kediaman, harta kediaman bagi kegunaan perniagaan, aset tetap serta aktiviti pembinaan.
[3] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan
Lihat juga:
Sorotan Bulanan [PDF]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.