Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Mei 2026
Inflasi keseluruhan meningkat sedikit, manakala inflasi teras kekal stabil pada bulan Mei
- Pada bulan Mei, inflasi keseluruhan meningkat sedikit kepada 2% (April 2026: 1.9%), manakala inflasi teras[1] kekal stabil pada 2% (April 2026: 2%).
- Peningkatan kecil dalam inflasi keseluruhan sebahagian besarnya mencerminkan perkembangan harga barangan bukan teras. Harga sayur-sayuran dan elektrik meningkat dengan ketara berbanding bulan sebelumnya. Kenaikan harga elektrik adalah berikutan pelaksanaan surcaj susulan kos penjanaan yang lebih tinggi.
- Tekanan ini sebahagiannya diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah bagi tambang penerbangan domestik dan bahan api runcit, khususnya RON97 dan diesel.[2]
Pertumbuhan pengeluaran perkilangan yang lebih tinggi
- Indeks Pengeluaran Industri Perkilangan mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 8.3% pada bulan April 2026 (Mac 2026: 5.5%).
- Kelompok berorientasikan eksport berkembang sebanyak 8.5% (Mac 2026: 6.7%), didorong oleh pengeluaran yang lebih tinggi bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk berkaitan sumber seperti petroleum ditapis dan produk kimia.
- Pertumbuhan dalam kelompok berorientasikan dalam negeri mengukuh kepada 8% (Mac 2026: 2.8%), mencerminkan peningkatan pengeluaran kenderaan bermotor, produk pemprosesan makanan dan bahan berkaitan pembinaan.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan lebih kukuh
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 6.4% (April 2026: 5.8%), didorong terutamanya oleh perniagaan, seperti yang dicerminkan oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam bon korporat terkumpul (8%; April 2026: 6.2%) dan pinjaman perniagaan terkumpul (7%; April 2026: 6.2%).
- Pertumbuhan pinjaman perniagaan meningkat, didorong terutamanya oleh keperluan modal kerja. Sementara itu, pertumbuhan pinjaman berkaitan pelaburan[3] secara amnya kekal stabil.
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal pada 5.5% (April 2026: 5.5%) berikutan pertumbuhan pinjaman stabil merentas kebanyakan tujuan.
Kualiti aset institusi perbankan kekal tidak berubah
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan nisbah pinjaman terjejas bersih secara keseluruhannya kekal tidak berubah masing-masing pada 1.4% dan 1%, disokong oleh tahap pinjaman terjejas yang stabil serta pertumbuhan pinjaman yang berterusan.
Institusi perbankan mengekalkan penampan mudah tunai yang mencukupi untuk menghadapi kemungkinan kejutan mudah tunai
- Sistem perbankan terus mencatatkan penampan aset mudah tunai yang kukuh, dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 149.2% (April 2026: 152.8%).
Pasaran kewangan kekal dipengaruhi oleh ketidakpastian geopolitik serta jangkaan terhadap dasar monetari AS
- Pasaran kewangan global terus dipengaruhi oleh ketidakpastian berkaitan konflik di Timur Tengah serta perubahan dalam jangkaan haluan kadar dasar Federal Reserve AS, meskipun sentimen bertambah baik sedikit berikutan keyakinan terhadap potensi penyelesaian konflik pada bulan tersebut.
- Berikutan perkembangan global ini, ringgit menambah nilai sebanyak 0.1% berbanding dolar AS (NEER[4]: -0.1%) dan secara amnya mengatasi prestasi mata wang serantau yang lain (purata serantau[5]: -0.7%).
- Kadar hasil MGS 10 tahun secara amnya kekal stabil, dengan penurunan sebanyak 1 mata asas (purata serantau[5]: +13 mata asas), didorong oleh permintaan pelabur domestik. Sementara itu, FBM KLCI menurun sebanyak 2.3% (purata serantau[5] 4.6%) berikutan aliran keluar bukan pemastautin.
Muat turun Sorotan Bulan dalam format PDF
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Harga runcit purata RON97 dan diesel masing-masing menurun kepada RM4.81 seliter dan RM5.01 seliter pada bulan Mei 2026 (April 26: masing-masing RM5.06 seliter dan RM5.92 seliter). Harga diesel di Sabah dan Sarawak kekal pada kadar bersubsidi RM2.15 seliter.
[3] Terdiri daripada pinjaman bagi pembelian harta tanah bukan kediaman, harta tanah kediaman bagi tujuan perniagaan, aset tetap serta aktiviti pembinaan.
[4] NEER merujuk kadar pertukaran efektif nominal yang mengukur pergerakan ringgit berbanding kumpulan mata wang rakan dagangan utama Malaysia.
[5] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.