Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan November 2024
Inflasi keseluruhan menurun berikutan inflasi yang lebih rendah bagi perkhidmatan komunikasi mudah alih
- Pada bulan November, inflasi keseluruhan menurun kepada 1.8% (Oktober 2024: 1.9%), manakala inflasi teras[1] kekal stabil pada 1.8% (Oktober 2024: 1.8%).
- Inflasi keseluruhan yang lebih rendah sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan berterusan dalam inflasi perkhidmatan komunikasi mudah alih[2], yang menurun kepada -11.4% (Oktober: -5.2%) sepanjang bulan November.
- Hal ini sebahagiannya diimbangi oleh inflasi yang lebih tinggi untuk makanan di luar rumah (4.8%; Oktober 2024: 4.1%) dan perkhidmatan penstriman (8.9%; Oktober: 5.3%).
Pengeluaran perkilangan berkembang pada bulan Oktober 2024
- Indeks pengeluaran industri perkilangan meningkat sebanyak 3.3% pada bulan Oktober 2024 (September 2024: 3.2%).
- Kelompok berorientasikan eksport terus berkembang, disokong oleh pengeluaran yang lebih tinggi bagi produk E&E dan produk berkaitan sumber.
- Pertumbuhan dalam kelompok berorientasikan dalam negeri terus meningkat, mencerminkan pengeluaran yang lebih tinggi bagi bahan berkaitan pembinaan serta produk makanan, minuman dan tembakau.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan[3] lebih tinggi pada bulan November
- Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 5.4% (Oktober 2024: 5.1%), didorong terutamanya oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam bon korporat (3.8%; Oktober 2024: 2.6%).
- Pertumbuhan pinjaman perniagaan kekal pada 5.4% (Oktober 2024: 5.4%). Mengikut tujuan, pertumbuhan pinjaman bagi pinjaman berkaitan pelaburan terus menggalakkan, khususnya dalam kalangan peminjam PKS (9.4%; Oktober 2024: 9.2%). Manakala, pinjaman bagi tujuan modal kerja menurun kepada 3.5% (Oktober 2024: 3.8%).
- Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terus dikekalkan pada 6.0% (Oktober 2024: 6.1%), berikutan pertumbuhan yang secara amnya stabil merentas tujuan pinjaman.
Pasaran kewangan domestik kebanyakannya dipengaruhi oleh sentimen pelabur global yang lebih berhati-hati
- Sentimen pelabur global berubah menjadi lebih berhati-hati. Hal ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh ketidakpastian mengenai dasar-dasar yang mungkin dilaksanakan oleh pentadbiran Amerika Syarikat yang akan datang serta jangkaan pasaran mengenai penurunan kadar faedah pada masa hadapan oleh US Federal Reserve.
- Berlatarkan keadaan ini, dolar AS menjadi kukuh, memberikan tekanan kepada pengurangan nilai mata wang serantau (purata serantau[4]: -3.4%), termasuk ringgit (-1.0%).
- FBM KLCI juga mencatatkan penurunan marginal sebanyak 0.5% yang didorong oleh aliran keluar ekuiti asing. Sementara itu, hasil MGS 10 tahun menurun sebanyak 11 mata peratusan.
Kedudukan mudah tunai sistem perbankan terus menyokong pengantaraan kewangan
- Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 147.9% (Oktober 2024: 146.8%).
- Agregat nisbah pinjaman kepada dana secara amnya stabil pada 83.6% (Oktober 2024: 84%).
Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih kekal stabil masing-masing pada 1.5% dan 0.9%.
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 128.1% daripada pinjaman terjejas (Oktober 2024: 126.6%).
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Penurunan inflasi untuk perkhidmatan komunikasi mudah alih adalah disebabkan oleh harga promosi untuk pelan pascabayar mudah alih dan peningkatan kuota data.
[3] Terdiri daripada pinjaman isi rumah dan syarikat bukan kewangan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) serta bon korporat yang diterbitkan oleh syarikat bukan kewangan (termasuk kertas jangka pendek).
[4] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan.
Sorotan Bulanan [PDF]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.