Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan November 2025
Inflasi keseluruhan meningkat sedikit kepada 1.4% pada bulan November
- Pada bulan November, inflasi keseluruhan meningkat sedikit kepada 1.4% (Oktober: 1.3%), manakala inflasi teras[1] kekal tidak berubah pada 2.2% (Oktober: 2.2%).
- Peningkatan dalam inflasi keseluruhan sebahagiannya didorong oleh harga rokok yang lebih tinggi berikutan kenaikan duti eksais[2] dan harga makanan di rumah, khususnya daging dan ikan segar.
- Inflasi teras kekal stabil, mencerminkan tekanan harga asas yang berterusan. Inflasi yang lebih tinggi bagi perkhidmatan komunikasi mudah alih dan kenderaan bermotor diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah bagi barangan kemas dan jam tangan serta perkhidmatan audio visual.
Pertumbuhan pengeluaran perkilangan lebih tinggi
- Indeks Pengeluaran Industri Perkilangan mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi iaitu sebanyak 6.5% pada bulan Oktober 2025 (September 2025: 5%).
- Kelompok berorientasikan eksport mengukuh kepada 7.2% (September 2025: 4.8%), didorong terutamanya oleh elektrik dan elektronik (E&E) serta jentera dan peralatan.
- Kelompok berorientasikan dalam negeri menurun kepada 4.9% (September 2025: 5.3%), disokong oleh pertumbuhan yang mantap dalam makanan dan minuman serta farmaseutikal, seterusnya mengimbangi penguncupan dalam pengeluaran kenderaan bermotor.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan secara amnya berterusan
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.5% pada bulan November 2025 (Oktober 2025: 5.7%), disokong oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang stabil (5.5%; Oktober 2025: 5.6%), manakala pertumbuhan dalam bon korporat terkumpul menurun sedikit (5.5%; Oktober 2025: 5.8%).
- Pertumbuhan pinjaman perniagaan menjadi sederhana kepada 5% (Oktober 2025: 5.5%), berikutan pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan dalam kalangan PKS. Pertumbuhan pinjaman dalam kalangan bukan PKS meningkat, khususnya bagi tujuan berkaitan pelaburan[3].
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada 5.7% (Oktober 2025: 5.7%) berikutan pertumbuhan pinjaman yang berterusan merentas kebanyakan tujuan.
Penampan aset mudah tunai bank-bank kekal mencukupi terhadap kemungkinan kejutan mudah tunai
- Sistem perbankan terus mencatatkan penampan aset mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 145.6% (Oktober 2025: 147.5%).
Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar kekal stabil pada 1.4%. Nisbah pinjaman terjejas bersih mencatatkan sedikit peningkatan kepada 1% (Oktober 2025: 0.9%) berikutan peruntukan yang dicatatkan pada bulan tersebut adalah lebih rendah.
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal berhemat pada 124.6% daripada pinjaman terjejas kasar (Oktober 2025: 126.5%).
Pasaran kewangan domestik dipengaruhi oleh jangkaan yang berubah-ubah terhadap hala tuju dasar monetari Amerika Syarikat (AS)
- Keadaan kewangan global dipengaruhi oleh jangkaan pasaran yang berubah-ubah sepanjang bulan terhadap pelonggaran dasar monetari selanjutnya oleh Federal Reserve AS.
- Berlatarkan persekitaran ini, ringgit menambah nilai sebanyak 1.5% berbanding dolar AS pada bulan November (NEER: 1.7%; purata serantau[4]: -0.3%), didorong oleh aliran masuk portfolio bukan pemastautin ke dalam pasaran bon domestik. Aliran masuk ini berlaku seiring dengan penurunan kadar hasil MGS 10 tahun sebanyak 2 mata asas (purata serantau4: +13.6 mata asas).
- Sementara itu, FBM KLCI menurun sebanyak 0.3% (purata serantau4: -0.1%) berikutan aliran keluar ekuiti asing bersih, manakala prestasi pasaran ekuiti serantau bercampur-campur.
Sorotan Bulanan [PDF]
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Kerajaan mengumumkan dalam Belanjawan 2026 bahawa duti eksais bagi rokok akan dinaikkan (+2 sen setiap batang) berkuat kuasa mulai 1 November 2025. Kenaikan harga rokok ini direkodkan di bawah kategori ‘Lain-lain’.
[3] Terdiri daripada pinjaman bagi pembelian harta bukan kediaman, harta kediaman bagi kegunaan perniagaan, aset tetap serta aktiviti pembinaan.
[4] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.