Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Ogos 2025

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Selasa, 30 September 2025
30 Sep 2025 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras meningkat pada bulan Ogos

  • Pada bulan Ogos, inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.3% (Julai: 1.2%), dengan kenaikan lebih tinggi dalam inflasi teras[1] (2%; Julai: 1.8%).
  • Pendorong utama kepada peningkatan inflasi teras termasuklah perkhidmatan penstriman, bekalan air serta barangan kemas dan jam tangan.[2] Beberapa barangan bukan teras seperti ikan segar juga mencatatkan sedikit peningkatan.
  • Pada masa yang sama, Indeks Harga Pengguna (IHP) elektrik menurun lagi, mencerminkan kesan berterusan daripada penstrukturan semula tarif yang dilaksanakan pada bulan Julai.

Pertumbuhan berterusan dalam pengeluaran perkilangan

  • Indeks pengeluaran industri perkilangan mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 4.4% pada bulan Julai (Jun: 3.6%)
  • Kelompok berorientasikan eksport berkembang sebanyak 4.1% pada bulan Julai (Jun: 2.9%), didorong oleh peningkatan pengeluaran dalam subsektor elektrik dan elektronik (electrical and electronics, E&E), serta jentera dan peralatan.
  • Kelompok berorientasikan dalam negeri pula meningkat secara stabil sebanyak 5.0% pada bulan Julai (Jun: 5.1%), dengan pertumbuhan kukuh dalam subsektor makanan dan minuman mengimbangi pengeluaran kenderaan bermotor yang terus menurun.

Pertumbuhan kredit yang berterusan kepada sektor swasta bukan kewangan

  • Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.6% (Julai: 5.5%), didorong oleh pertumbuhan bon korporat terkumpul yang lebih tinggi serta pertumbuhan pinjaman terkumpul yang stabil (5.6%; Julai: 5.6%).
  • Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat kepada 5.2% (Julai: 4.9%), disokong oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih tinggi, khususnya dalam kalangan bukan PKS. Pertumbuhan pinjaman bagi tujuan berkaitan pelaburan[3] kekal mampan merentas semua segmen.
  • Pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada 5.9% (Julai: 6%), berikutan pertumbuhan pinjaman yang berterusan merentas kebanyakan tujuan pinjaman.

Pasaran kewangan domestik dipengaruhi oleh jangkaan terhadap pelonggaran dasar monetari AS

  • Di Amerika Syarikat, keadaan pasaran pekerja yang lemah dan kadar inflasi keseluruhan bulan Julai yang lebih rendah daripada jangkaan telah meningkatkan jangkaan pasaran terhadap pelonggaran dasar monetari oleh Federal Reserve AS.
  • Berlatarkan keadaan ini, ringgit menambah nilai sebanyak 0.9% berbanding dolar AS (NEER: 0.2%; purata serantau[4]: 1%), seiring dengan mata wang serantau. Walaupun terdapat aliran masuk bukan pemastautin yang lebih tinggi ke dalam pasaran bon domestik, kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) 10 tahun secara amnya kekal stabil, meningkat sedikit kepada 2.0 mata asas (purata serantau4: -16.7 mata asas) disebabkan oleh peningkatan bekalan bon Kerajaan.
  • Sementara itu, FBM KLCI meningkat lebih tinggi sebanyak 4.1% (purata serantau4: 0.6%), didorong oleh keuntungan syarikat korporat yang kukuh.

Kedudukan mudah tunai sistem perbankan kekal menyokong pengantaraan kewangan

  • Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 146.8%
    (Julai: 158.4%)[5].
  • Agregat nisbah pinjaman kepada dana pula secara amnya stabil pada 83% (Julai: 82.8%).

Kualiti aset bank-bank kekal kukuh

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar dan nisbah pinjaman terjejas bersih masing-masing kekal stabil pada 1.4% dan 0.9%.
  • Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal berhemat pada 128% daripada pinjaman terjejas kasar (Julai: 128%).

 


[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya Ditadbir.

[2] Kecuali bekalan air, komponen lain dikategorikan sebagai 'Lain-lain’.

[3] Terdiri daripada pinjaman bagi pembelian harta tanah bukan kediaman, harta tanah kediaman bagi kegunaan perniagaan, aset tetap serta aktiviti pembinaan.

[4] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan.

[5] Nisbah Perlindungan Mudah Tunai yang lebih rendah pada bulan Ogos 2025 berbanding bulan Julai 2025 didorong terutamanya oleh jangkaan aliran keluar tunai bersih yang lebih tinggi, khususnya daripada pinjaman antara bank dan deposit yang matang (purata 12 bulan: 153.1%).

 

Lihat juga:

Sorotan Bulanan [PDF]


Bank Negara Malaysia
30 September 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?