Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Oktober 2024
Inflasi keseluruhan sedikit meningkat, sebahagian besar mencerminkan inflasi makanan yang lebih tinggi
- Pada bulan Oktober, inflasi keseluruhan naik kepada 1.9% (September 2024: 1.8%), manakala inflasi teras[1] kekal stabil pada 1.8% (September 2024: 1.8%).
- Inflasi keseluruhan yang lebih tinggi ini sebahagian besarnya didorong oleh inflasi makanan dan minuman, yang meningkat kepada 2.3% (September 2024: 1.6%) sepanjang bulan tersebut. Walau bagaimanapun, kenaikan ini sebahagiannya diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah bagi perkhidmatan[2] komunikasi & maklumat (-1.7%; September 2024: 0.4%) dan bahan api runcit (-0.1%; September 2024: 0.4%).
Pertumbuhan eksport berubah positif, sementara pertumbuhan import sederhana pada bulan Oktober
- Eksport berkembang sebanyak 1.6% (September 2024: -0.6%), didorong oleh eksport E&E yang lebih kukuh. Eksport bukan E&E dan komoditi berkurang, disebabkan terutamanya oleh eksport produk berkaitan petroleum yang lebih rendah.
- Pertumbuhan import pula menurun kepada 2.6% (September 2024: 10.9%), didorong oleh pengucupan dalam import modal serta import perantaraan yang terus sederhana.
- Pada masa hadapan, eksport dijangka terus bertambah baik berikutan permintaan luaran yang berterusan dan peningkatan kitaran teknologi. Sementara itu, import terus bergantung pada risiko kemungkinan sekiranya terdapat risiko pelaburan yang lebih tinggi daripada jangkaan, lantas meningkatkan import modal.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan[3] lebih tinggi
- Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 5.1% pada bulan Oktober (September 2024: 4.8%), susulan pertumbuhan pinjaman perniagaan (5.3%; September 2024: 4.5%) dan bon korporat (2.6%; September 2024: 2.1%) yang lebih tinggi.
- Peningkatan dalam pertumbuhan pinjaman perniagaan didorong oleh pertumbuhan pinjaman bukan PKS yang lebih tinggi merentas semua tujuan manakala pertumbuhan pinjaman untuk PKS kekal berterusan. Tambahan lagi, permohonan pinjaman juga meningkat pada bulan tersebut, mencerminkan permintaan yang stabil terhadap pembiayaan dalam kalangan perniagaan.
- Pertumbuhan isi rumah terus kekal pada 6.1% (September 2024: 6.1%), berikutan pertumbuhan pinjaman yang secara amnya stabil merentas semua tujuan.
Pasaran kewangan domestik kebanyakannya dipengaruhi oleh sentimen pelabur global
- Sentimen pelabur global sebahagian besarnya dipengaruhi oleh semakan semula jangkaan terhadap pengurangan kadar faedah yang lebih perlahan oleh Federal Reseve AS, susulan siaran data pasaran pekerja dan inflasi yang lebih kukuh daripada jangkaan, keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, serta ketegangan geopolitik yang berlarutan di Timur Tengah.
- Berlatarkan keadaan ini, dolar AS menjadi kukuh, memberikan tekanan kepada pengurangan nilai mata wang serantau (purata serantau[4]: -4.3%), termasuk ringgit (-6.5%).
- Kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysia Government Securities, MGS) 10 tahun meningkat sebanyak 21 mata asas (purata serantau: +15.7 bps) sejajar dengan kadar hasil US Treasuries yang lebih tinggi. Hal ini susulan ekonomi AS yang lebih kukuh dan kebimbangan yang berterusan terhadap inflasi. Sementara itu, FBM KLCI menurun sebanyak 2.9% disebabkan oleh aliran keluar ekuiti asing.
Kedudukan mudah tunai sistem perbankan terus menyokong pengantaraan kewangan
- Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 146.8% (September 2024: 146.6%).
- Agregat nisbah pinjaman kepada dana secara amnya kekal stabil pada 84.0% (September 2024: 83.7%).
Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh dan stabil
- Nisbah pinjaman terjejas kasar secara keseluruhannya kekal stabil pada 1.5% manakala nisbah pinjaman terjejas bersih bertambah baik kepada 0.9% (September 2024: 1.0%).
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 126.6% daripada pinjaman terjejas (September 2024: 125.1%).
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Inflasi yang lebih rendah dalam perkhidmatan maklumat dan komunikasi mencerminkan potongan harga yang besar dibuat sekali sahaja oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi melalui peningkatan kuota data untuk pelan pascabayar terpilih.
[3] Terdiri daripada pinjaman isi rumah dan syarikat bukan kewangan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) serta bon korporat yang diterbitkan oleh syarikat bukan kewangan (termasuk kertas jangka pendek).
[4] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan.
Sorotan Bulanan [PDF]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.