Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Oktober 2025
Inflasi keseluruhan lebih rendah pada bulan Oktober, manakala inflasi teras meningkat sedikit
- Pada bulan Oktober, inflasi keseluruhan adalah lebih rendah pada 1.3% (September 2025: 1.5%), manakala inflasi teras[1] meningkat sedikit kepada 2.2% (September 2025: 2.1%).
- Penurunan inflasi keseluruhan sebahagian besarnya didorong oleh inflasi yang lebih rendah bagi barangan bukan teras. Hal ini termasuk penurunan berterusan dalam inflasi elektrik, berikutan pemberian rebat susulan kos penjanaan yang lebih rendah, serta harga bahan api[2] yang lebih rendah sepanjang bulan tersebut.
- Inflasi teras yang lebih tinggi didorong oleh peningkatan inflasi perkhidmatan komunikasi mudah alih.[3] Peningkatan ini mencerminkan kesan asas negatif yang mereda berikutan penurunan besar harga perkhidmatan mudah alih pascabayar pada bulan Oktober 2024, dan bukannya disebabkan oleh perubahan dalam tekanan harga asas.
Pertumbuhan eksport yang kukuh menyokong lebihan dagangan
- Eksport meningkat sebanyak 15.7% (September 2025: 12.5%) berikutan pertumbuhan kukuh sektor elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak 26.5% (September 2025: 19.5%).
- Pertumbuhan import meningkat kepada 11.2% (September 2025: 7.2%) disebabkan oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam import barangan modal yang berkaitan dengan pelaburan pusat data.
- Lebihan dagangan kekal besar pada RM19 bilion berikutan prestasi eksport yang kukuh (September 2025: RM20.2 bilion).
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan kekal mampan
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 5.7% (September 2025: 5.9%) susulan pertumbuhan yang stabil dalam pinjaman terkumpul (5.6%; September 2025: 5.7%). Pertumbuhan dalam bon korporat terkumpul pula menurun kepada 5.8% (September 2025: 7.3%).
- Pinjaman perniagaan terkumpul berkembang sebanyak 5.5% (September 2025: 5.4%), disokong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pinjaman modal kerja, khususnya dalam kalangan bukan PKS.
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada 5.7% (September 2025: 5.7%) berikutan pertumbuhan pinjaman yang berterusan bagi kebanyakan tujuan.
Bank mengekalkan aset mudah tunai yang mencukupi sebagai penampan untuk menghadapi potensi kejutan mudah tunai
- Sistem perbankan terus mencatatkan penampan aset mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 147.5% (September 2025: 151.5%).
Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan nisbah pinjaman terjejas bersih kekal stabil masing-masing pada 1.4% dan 0.9%.
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal berhemat pada 126.4% daripada jumlah pinjaman terjejas kasar (September 2025: 129.1%).
Pasaran kewangan domestik kekal dipengaruhi oleh jangkaan pelonggaran dasar monetari AS dan ketidakpastian berkaitan tarif yang semakin kurang
- Pasaran kewangan global kekal berteraskan jangkaan pengurangan kadar dasar oleh Federal Reserve AS (Fed) pada bulan Oktober, dengan pengurangan yang dijangka dilaksanakan oleh Fed pada penghujung bulan tersebut.
- Berlatarkan keadaan ini, ringgit menambah nilai berbanding dolar AS sebanyak 0.5% (NEER: 1.1%; purata serantau[4]: -0.6%), disokong oleh perbezaan kadar faedah yang mengecil dan ketidakpastian berkaitan tarif yang semakin kurang susulan pengumuman perjanjian perdagangan antara AS dengan Malaysia.
- Sementara itu, kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 4 mata asas (purata serantau*: 0.4 mata asas) berikutan jangkaan pengurangan kadar OPR pada masa hadapan yang semakin berkurang. FBM KLCI mencatatkan penurunan sebanyak 0.2% (purata serantau*: 5.3%), mencerminkan aktiviti pengambilan untung oleh pelabur bukan pemastautin.
Sorotan Bulanan [PDF]
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Bahan api dikategorikan sebagai “Pengangkutan”.
[3] Perkhidmatan komunikasi mudah alih dikategorikan sebagai “Lain-lain”.
[4] Negara-negara serantau merangkumi Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.