Perlanjutan Tarikh Akhir bagi Mengemukakan Permohonan di bawah Kemudahan Jaminan Bantuan Istimewa bagi Peniaga-peniaga yang Terjejas Akibat Banjir
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa tarikh akhir untuk mengemukakan permohonan di bawah Kemudahan Jaminan Bantuan Istimewa (Special Relief Guarantee Facility, SRGF) untuk meringankan masalah yang dihadapi oleh peniaga-peniaga yang terjejas akibat banjir, telah dilanjutkan dari 31 Mac 2007 ke 30 April 2007. Perlanjutan selama sebulan ini bertujuan untuk memberi lebih masa kepada peniaga-peniaga yang terjejas akibat banjir membuat permohonan pinjaman di bawah SRGF.
Bank Negara Malaysia dengan kerjasama industri kewangan memperkenalkan SRGF berjumlah RM500 juta pada 8 Januari 2007. SRGF telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peniaga-peniaga di kawasan yang terjejas akibat banjir. Sehingga kini, sebanyak 2,902 permohonan berjumlah RM501 juta telah diterima oleh institusi kewangan. Daripada jumlah ini, sebanyak 1,791 permohonan pinjaman bernilai RM250 juta telah diluluskan. Sementara itu, permohonan pinjaman yang selebihnya berjumlah RM127 juta sedang diproses. Dari segi saiz pinjaman yang diluluskan di bawah SRGF, kira-kira 60% daripada jumlah bilangan pinjaman yang diluluskan adalah untuk pinjaman RM100,000 dan ke bawah, manakala 37% diberi untuk pinjaman RM50,000 dan ke bawah. Ini menunjukkan perniagaan lebih kecil telah menerima bantuan.
Institusi kewangan memberi keutamaan kepada pemohon SRGF, yang perniagaan masing-masing terjejas secara langsung akibat banjir, dengan memastikan kelulusan dan pengeluaran pinjaman yang segera.
Orang ramai dinasihati untuk menghubungi pusat khidmat pelanggan atau cawangan-cawangan institusi kewangan masing-masing secara terus untuk pertanyaan atau bantuan. Mereka juga boleh menghubungi Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK) Bank Negara Malaysia di 03-2692 0091 atau 03-2698 8044 samb. 8949/8970 untuk maklumat lanjut atau bantuan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.