Perluasan Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan antara Bank Negara Malaysia dengan Bank Indonesia
Bank Negara Malaysia dan Bank Indonesia hari ini mengumumkan perluasan rangka kerja penyelesaian ringgit-rupiah. Rangka kerja ini dilancarkan buat kali pertamanya pada 11 Disember 2017 selaras dengan Memorandum Persefahaman antara Bank Negara Malaysia dengan Bank Indonesia yang ditandatangani pada 23 Disember 2016. Perluasan yang akan berkuat kuasa mulai hari ini, 2 Ogos 2021, merupakan sebahagian daripada usaha yang berterusan untuk meningkatkan penggunaan mata wang tempatan bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan langsung antara Malaysia dengan Indonesia.
Selain perdagangan, kini rangka kerja yang diperluas ini merangkumi pelaburan langsung, pendapatan dan pindahan sebagai transaksi asas yang layak. Rangka kerja ini juga memperluas pengguna yang layak, seperti orang perseorangan, dan dasar pertukaran asing tambahan yang fleksibel, misalnya keperluan dokumen yang lebih ringkas bagi memudahkan pelaksanaan rangka kerja ini.
Melalui perluasan ini, Bank Negara Malaysia dan Bank Indonesia juga telah melantik beberapa lagi bank perdagangan yang berkelayakan di kedua-dua negara bagi menyokong pelaksanaan rangka kerja penyelesaian ringgit-rupiah yang diperluas ini. Secara umumnya, bank-bank yang dilantik mempunyai pengalaman dalam memudahkan kegiatan perdagangan dan pelaburan langsung antara kedua-dua negara, mempunyai jumlah pelanggan yang besar dan telah mewujudkan hubungan perniagaan yang kukuh dengan bank-bank di negara rakan yang menjalinkan persefahaman ini.
Bank-bank yang dilantik adalah seperti yang berikut:
Malaysia
Bank-bank tambahan yang dilantik:
HSBC Bank Malaysia Berhad
MUFG Bank Malaysia Berhad
Bank-bank sedia ada:
CIMB Bank Berhad
Hong Leong Bank Berhad
Malayan Banking Berhad
Public Bank Berhad
RHB Bank Berhad
Indonesia
Bank-bank tambahan yang dilantik:
PT Bank HSBC Indonesia
MUFG Bank Ltd. cawangan Jakarta
Bank-bank sedia ada:
PT Bank Rakyat Indonesia (Persero) Tbk
PT Bank Mandiri (Persero) Tbk
PT Bank Central Asia Tbk
PT Bank Negara Indonesia (Persero) Tbk
PT Bank CIMB Niaga Tbk
PT Bank Maybank Indonesia Tbk
Bank Negara Malaysia
Bank Indonesia
2 Ogos 2021
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.