Permohonan bagi Lesen Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful Digital Dibuka dan Terus Mendapat Sambutan

10 Mac 2025 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak untuk mengemukakan permohonan lesen Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful Digital (Digital Insurers and Takaful Operators, DITO), tiga bulan sejak permulaan tempoh permohonan pada 2 Januari 2025. Sambutan positif ini mencerminkan keyakinan yang utuh  untuk memperluas inovasi industri insurans dan takaful. Sesi perbincangan dengan pemohon yang berminat sedang dijalankan dan tempoh permohonan akan dibuka hingga 31 Disember 2026. BNM akan mengumumkan permohonan yang berjaya semasa atau selepas tempoh permohonan, jika ada.

Usaha untuk merapatkan jurang perlindungan insurans masih tidak mencukupi, khususnya dalam kalangan segmen masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan dan tidak mendapat perkhidmatan kewangan. Sebagai contoh, kurang separuh daripada rakyat Malaysia mempunyai perlindungan insurans hayat atau takaful keluarga. Oleh itu, industri insurans dan takaful perlu melaksanakan inovasi untuk merapatkan jurang ini dan membantu pengguna untuk lebih bersedia menghadapi kejadian yang tidak dijangka. Dengan penggunaan teknologi dan kemajuan digital dengan lebih berkesan, penanggung insurans dan pengendali takaful (insurers and takaful operators, ITO) mampu menangani cabaran dari segi penawaran dan permintaan,  lantas  menghasilkan tawaran produk yang lebih khusus dan pelbagai selain tawaran perkhidmatan insurans dan takaful tradisional.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “BNM berharap DITO dapat mengukuhkan lagi sistem kewangan dengan tawaran yang lebih inklusif, berdaya saing dan cekap, selaras dengan keperluan pengguna yang semakin berkembang.”

Dengan mengambil kira prospek ini, DITO dijangka dapat menawarkan nilai yang bermakna dari segi rangkuman, persaingan dan kecekapan. Pemohon perlu memahami dan menangani keperluan perlindungan segmen pengguna yang mesra digital (digitally focused) dengan menawarkan produk dan perkhidmatan yang bersesuaian. Pemohon perlu mempertingkatkan kecekapan keseluruhan operasi untuk memastikan pengalaman pelanggan yang lancar. Bersama-sama dengan ITO sedia ada, DITO mampu mengukuhkan lagi sistem kewangan dengan menggalakkan inovasi yang bertanggungjawab untuk rakyat Malaysia serta menyokong matlamat yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026.

BNM ingin menegaskan bahawa semua pemohon yang berminat perlu melakukan perbincangan dengan BNM sebelum mengemukakan permohonan rasmi. Oleh itu, pemohon yang berminat perlu mendapatkan sesi perbincangan dengan menghantar e-mel kepada [email protected]. Selain itu, pemohon yang berminat juga perlu memenuhi kriteria yang digariskan dalam Dokumen Dasar Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan DITO. Untuk maklumat lanjut mengenai proses permohonan lesen, sila rujuk Soalan Lazim yang telah dikemas kini.

 

Lihat juga:


Bank Negara Malaysia
10 Mac 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?