Pernyataan Dasar Monetari
Penunjuk ekonomi dan kewangan terkini memberi bukti yang kukuh bahawa momentum pertumbuhan ekonomi global semakin meningkat. Di dalam negeri, permintaan agregat yang lebih tinggi telah disokong oleh pemulihan dalam permintaan luar negara, membolehkan KDNK meningkat dengan lebih pesat pada suku ketiga. Melangkah ke hadapan, perkembangan ekonomi yang menyeluruh akan memberi kesan yang positif pada pasaran pekerja. Harga komoditi yang kekal tinggi akan juga turut menyokong permintaan domestik. Pelaburan dijangka akan meningkat memandangkan tahap kapasiti yang tinggi dalam beberapa sektor. Keyakinan pasaran telah pulih dengan pembaharuan minat pelabur domestik dan luar negara dalam pasaran ekuiti.
Perkembangan yang menggalakkan ini menyediakan landasan yang kukuh bagi prospek pertumbuhan yang lebih baik. Bagaimanapun, keadaan ekonomi menunjukkan kadar inflasi kekal berada pada tahap yang rendah. Permintaan yang tinggi dapat dicapai tanpa memberi tekanan ke atas inflasi memandangkan terdapatnya keadaan lebihan kapasiti, keupayaan untuk meningkatkan pengeluaran, persaingan harga serta keadaan pasaran pekerja yang stabil. Dalam keadaan ini, dasar monetari yang akomodatif terus dikekalkan bagi memberi sokongan dan mengekalkan momentum pertumbuhan. Mengenai kadar pertukaran, asas-asas ekonomi yang kukuh terus menyokong nilai ringgit yang kekal berada pada tahap yang berpatutan. Tambatan ringgit terus memberi sokongan kepada perdagangan antarabangsa dan pelaburan serta menyokong perkembangan menyeluruh dalam aktiviti ekonomi.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.