Pernyataan Dasar Monetari
Aktiviti ekonomi yang menggalakkan pada suku kedua tahun 2004 telah meningkatkan pertumbuhan keluaran kepada 8.0%, iaitu pertumbuhan suku tahunan yang tertinggi semenjak suku ketiga tahun 2000. Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih kukuh serta pertumbuhan permintaan luar negeri yang kekal tinggi.
Walaupun permintaan agregat lebih kukuh dan harga minyak dunia lebih tinggi, kadar inflasi domestik, yang diukur melalui Indeks Harga Pengguna, kekal rendah pada 1.2% pada suku kedua. Asas inflasi dalam ekonomi dijangka kekal rendah. Dari segi penawaran, pengeluar juga telah bertindak dengan membuat pelaburan baru dan menambah kapasiti dalam sektor-sektor utama ekonomi. Faktor persaingan dan pasaran pekerja yang stabil, serta peningkatan produktiviti juga telah menyumbang kepada kadar inflasi yang rendah. Dalam persekitaran ini, teras dasar monetari masa kini akan dikekalkan untuk menyokong pertumbuhan. Oleh itu, Kadar Dasar Semalaman (KDS) kekal tidak berubah pada 2.70%.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.