Pernyataan Dasar Monetari

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1700 pada Isnin, 28 Februari 2005
28 Feb 2005 Siaran Akhbar

Prospek pertumbuhan Malaysia terus menggalakkan pada tahun 2005, dengan pertumbuhan disokong oleh permintaan dalam negeri dan luar negara. Permintaan dalam negeri akan disokong oleh sektor swasta memandangkan sektor awam akan terus mengukuhkan kedudukan akaun fiskalnya. Perbelanjaan pengguna dijangka kekal kukuh sementara pelaburan swasta dijangka kekal mapan berikutan penambahbaikan dan pengembangan kapasiti oleh syarikat-syarikat untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Di luar negara, ekonomi global dijangka akan terus mencatat pertumbuhan pada tahun 2005, meskipun kadar pertumbuhan akan menjadi sederhana. Oleh itu, permintaan luar negara akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Kadar inflasi dijangka meningkat pada separuh pertama tahun 2005 disebabkan oleh perubahan dalam harga yang ditadbir, kenaikan sekali dalam cukai barangan tembakau dan alkohol, dan kemungkinan kesan pass-through dari luar negara. Kesan daripada faktor-faktor ini dijangka hanya sementara dan inflasi dijangka menjadi sederhana dan kekal terurus pada sepanjang tahun. Faktor-faktor yang dapat mengurangkan tekanan inflasi daripada bertambah termasuk produktiviti yang semakin meningkat dan pengembangan kapasiti, serta tekanan permintaan yang tidak begitu ketara.

Oleh yang demikian, dasar monetari akan terus berperanan menyokong pertumbuhan bagi memastikan ekonomi Malaysia terus berkembang hampir pada tahap potensinya. Kadar dasar semalaman (OPR) kekal tidak berubah pada kadar semasa, iaitu 2.70%.


Bank Negara Malaysia
28 Februari 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?