Pernyataan Dasar Monetari
Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku pertama adalah seperti jangkaan. Sektor swasta terus menjadi pendorong utama pertumbuhan, manakala sektor awam meneruskan konsolidasi fiskalnya. Melangkah ke hadapan, prospek jangka masa terdekat bagi Malaysia kekal positif. Perbelanjaan pengguna dijangka kekal teguh dan pelaburan swasta dijangka terus mapan berikutan pengembangan kapasiti oleh syarikat-syarikat. Di luar negeri, pertumbuhan global dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Kadar inflasi dijangka meningkat pada beberapa bulan akan datang, sebelum menjadi sederhana pada penghujung tahun 2005. Kenaikan harga mencerminkan pelarasan kos berikutan kenaikan harga input seperti harga komoditi dan minyak yang lebih tinggi. Tidak terdapat sebarang tanda bahawa tekanan permintaan yang kukuh menjadi punca kenaikan inflasi. Produktiviti yang meningkat dan pengembangan kapasiti turut memainkan peranan dalam mengurangkan tekanan inflasi. Perkembangan harga akan dipantau dengan lebih teliti untuk memastikan Malaysia terus menikmati pertumbuhan ekonomi yang mapan dalam persekitaran harga yang stabil.
Dengan kurangnya tekanan permintaan yang kukuh, ini membolehkan dasar monetari terus kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, kadar dasar semalaman (OPR) akan kekal tidak berubah pada paras semasa iaitu 2.70%.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.