Pernyataan Dasar Monetari
Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.
Ekonomi global terus berkembang pada kadar yang sederhana. Dalam ekonomi-ekonomi maju, pertumbuhan adalah sederhana dan tidak sekata. Di kebanyakan ekonomi Asia, permintaan dalam negeri terus menyokong aktiviti ekonomi meskipun prestasi eksport lebih lemah. Pasaran kewangan antarabangsa masih tidak menentu berikutan peralihan mudah tunai global dan sentimen pelabur. Pada masa hadapan, walaupun pertumbuhan global dijangka berterusan, prospek pertumbuhan ini mudah dipengaruhi oleh risiko pertumbuhan yang lebih perlahan berpunca daripada kelemahan semasa yang bersifat kitaran dan struktur, hutang yang berlebihan, penurunan mendadak harga komoditi dan risiko geopolitik yang semakin meningkat.
Dalam persekitaran yang mencabar ini, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada tahun 2016 selepas mencatat pertumbuhan sebanyak 5 peratus pada tahun 2015. Prospek permintaan dalam negeri diunjurkan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan. Meskipun penggunaan swasta dijangka sederhana, perbelanjaan isi rumah akan terus disokong oleh pertumbuhan pendapatan dan guna tenaga, serta pendapatan boleh guna tambahan daripada langkah yang diumumkan semasa Pengubahsuaian Bajet 2016. Pelaburan keseluruhan akan terus disokong oleh pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur dan perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. Sektor luaran dijangka mencatat pemulihan yang sederhana dan memberikan sokongan tambahan kepada ekonomi.
Inflasi pada tahun 2016 dijangka lebih tinggi berbanding dengan tahun 2015, berikutan pelarasan terhadap harga ditadbir dan kadar pertukaran ringgit yang lebih lemah. Kesan daripada faktor-faktor kos ini, bagaimanapun, dijangka diimbangi oleh harga tenaga dan komoditi yang terus rendah serta inflasi global yang pada amnya lemah. Berikutan itu, momentum inflasi dijangka lebih perlahan daripada jangkaan awal.
Keadaan kewangan domestik keseluruhan secara relatif kekal stabil sejak mesyuarat MPC yang lalu. Operasi monetari Bank Negara Malaysia terus memastikan terdapat mudah tunai yang mencukupi untuk menyokong pasaran wang dan pasaran pertukaran asing berfungsi dengan teratur. Sistem kewangan terus kukuh dengan institusi kewangan beroperasi dengan penampan mudah tunai yang mencukupi. Pertumbuhan pembiayaan kepada sektor swasta juga kekal teguh.
Pada kadar semasa OPR ini, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi. MPC menyedari bahawa terdapat risiko yang tinggi dalam persekitaran ekonomi dan kewangan global, dan sedang memantau dengan rapi serta menilai implikasinya terhadap kestabilan harga dan pertumbuhan dalam negeri. Ini bagi memastikan pendirian dasar monetari adalah konsisten dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.