Pernyataan Dasar Monetari

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Khamis, 9 Mac 2023
09 Mac 2023 Siaran Akhbar

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 2.75 peratus.

Ekonomi global menunjukkan beberapa perkembangan positif berikutan pembukaan semula ekonomi China dan pertumbuhan sebenar yang lebih baik daripada jangkaan di ekonomi-ekonomi utama, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan. Walau bagaimanapun, ekonomi global terus terjejas oleh tekanan kos yang kekal tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi. Inflasi keseluruhan menurun sedikit daripada paras tinggi sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Namun, inflasi teras terus kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini. Bagi menguruskan tekanan inflasi, beberapa bank pusat dijangka terus menaikkan kadar faedah. Tindakan ini akan menyebabkan prospek pertumbuhan global terus menghadapi rintangan. Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutamanya disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara.

Ekonomi Malaysia berkembang kukuh sebanyak 8.7% pada tahun 2022, didorong oleh perbelanjaan sektor swasta dan awam yang pulih susulan pembukaan semula ekonomi sepenuhnya. Selepas menunjukkan prestasi yang kukuh pada tahun 2022, ekonomi dijangka menjadi sederhana pada tahun 2023 berikutan ekonomi global yang lebih perlahan. Pertumbuhan akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri. Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh prospek pekerjaan dan pendapatan yang terus bertambah baik. Ketibaan pelancong dijangka  terus bertambah lantas menggiatkan lagi aktiviti berkaitan pelancongan. Projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan akan menyokong aktiviti pelaburan. Risiko pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca daripada pelaksanaan projek yang dinyatakan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 baru-baru ini. Risiko prospek pertumbuhan ekonomi dalam negeri menjadi perlahan terus berpunca terutamanya daripada perkembangan global termasuk pertumbuhan sebenar yang lebih lemah daripada jangkaan atau keadaan kewangan global yang lebih ketat dan tidak menentu.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana sepanjang tahun 2023 tetapi akan kekal tinggi berikutan faktor permintaan dan kos yang berlarutan. Tahap tekanan inflasi yang meningkat akan terus dibendung sebahagiannya oleh kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada serta lebihan kapasiti dalam ekonomi yang masih ada. Imbangan risiko terhadap prospek inflasi cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan kekal sangat bergantung pada sebarang perubahan pada dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi global.

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi. MPC akan terus menilai kesan pelarasan OPR secara kumulatif memandangkan kesan sela masa (lag effect) dasar monetari terhadap ekonomi. MPC terus berwaspada terhadap faktor kos yang boleh menjejaskan prospek inflasi, termasuk faktor yang disebabkan oleh perkembangan pasaran kewangan. Langkah seterusnya untuk mengembalikan tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. MPC akan terus menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan pertumbuhan yang mampan.

 

Lihat Juga:

  1. Ringkasan Pernyataan Dasar Monetari (MPS): Mac 2023
  2. Soalan Lazim

Bank Negara Malaysia
09 Mac 2023

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?