Pernyataan Dasar Monetari

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1000 pada Khamis, 8 Mei 2014
08 Mei 2014 Siaran Akhbar

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Pertumbuhan global menjadi sederhana pada suku pertama berikutan beberapa ekonomi utama telah terjejas oleh faktor berkaitan cuaca dan faktor yang dicetuskan oleh pelaksanaan dasar. Pada masa akan datang, ekonomi global dijangka terus pulih secara beransur-ansur. Di Asia, persekitaran luaran yang lebih baik terus menyokong pertumbuhan di samping permintaan dalam negeri yang terus berkembang. Keadaan dalam pasaran kewangan antarabangsa juga bertambah baik susulan pelarasan dasar secara beransur-ansur dan teratur dalam ekonomi maju utama manakala kesan daripada perkembangan geopolitik kekal terkawal.

Bagi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan bahawa ekonomi dalam negeri terus mencatat prestasi yang menggalakkan pada suku pertama. Pada masa akan datang, pertumbuhan akan terus dipacu oleh permintaan dalam negeri dengan sokongan tambahan daripada persekitaran luaran yang bertambah baik. Eksport akan terus mendapat manfaat daripada pemulihan dalam ekonomi maju dan permintaan serantau. Perbelanjaan sektor swasta dijangka kekal teguh. Aktiviti pelaburan disokong oleh perbelanjaan modal yang menyeluruh, terutamanya dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. Penggunaan swasta akan disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil dan keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan. Oleh itu, prospek momentum pertumbuhan dijangka mampan.

Inflasi telah menjadi stabil sejak beberapa bulan yang lalu dalam keadaan cuaca yang lebih baik dan disebabkan oleh kesan daripada pelarasan harga bagi utiliti dan tenaga yang menjadi sederhana. Melangkah ke hadapan, inflasi, bagaimanapun, dijangka terus melebihi kadar purata jangka panjangnya disebabkan oleh faktor kos domestik yang lebih tinggi.

Dalam keadaan prospek pertumbuhan yang kukuh dan inflasi yang kekal melebihi kadar purata jangka panjangnya, terdapat tanda-tanda wujudnya pembentukan ketidakseimbangan kewangan yang berterusan. Meskipun langkah kehematan makro dan mikro telah mengurangkan peningkatan pertumbuhan keberhutangan isi rumah, keadaan monetari dan kewangan semasa mungkin menyebabkan pembentukan ketidakseimbangan ekonomi dan kewangan yang lebih meluas. Pada masa hadapan, tahap dasar monetari yang akomodatif mungkin perlu diselaraskan bagi memastikan risiko yang berpunca daripada pembentukan ketidakseimbangan ini tidak memberikan kesan kepada prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.


Bank Negara Malaysia
08 Mei 2014

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?