Pernyataan Dasar Monetari
Dalam suasana global yang terjejas akibat ketidakpastian geopolitik serta penularan wabak SARS, asas ekonomi Malaysia tetap kukuh. Kadar inflasi kekal rendah, dengan lebihan akaun semasa yang kukuh, rizab luar yang meningkat, hutang yang rendah dan sektor perbankan yang mengukuh. Berikutan asas-asas kukuh ini, dasar monetari adalah lebih fleksibel. Bank Negara Malaysia telah menurunkan Kadar Campurtangan sebanyak 50 mata asas pada bulan Mei sebagai langkah awalan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi berikutan prospek ekonomi global yang kurang baik.
Penunjuk ekonomi dan monetari di dalam dan luar negara telah bertukar menjadi lebih positif. Faktor-faktor negatif yang menjejaskan pertumbuhan pada separuh pertama tahun ini kebanyakannya telah menjadi semakin reda.
Di luar negara, pertumbuhan global semakin pulih sementara pasaran ekuiti global telah meningkat. Perkembangan luar negara yang positif telah meningkatkan prospek prestasi eksport Malaysia untuk tempoh jangka pendek. Di dalam negeri, keyakinan pengguna dan perniagaan bertambah baik. Keseluruhannya, dasar–dasar ekonomi terus menyokong meningkatkan produktiviti jangka panjang.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka lebih baik pada separuh kedua tahun ini. Kadar inflasi adalah rendah dan dijangka kekal rendah memandangkan terdapat kapasiti yang mencukupi dalam ekonomi. Tambahan lagi, tiada risiko dalam inflasi aset. Walaupun keadaan asas ekonomi menunjukkan prospek yang lebih cerah, suasana kadar faedah yang rendah akan dikekalkan untuk memastikan pemulihan ekonomi yang mantap.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.