Pernyataan Dasar Monetari

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Rabu, 3 November 2021
03 Nov 2021 Siaran Akhbar

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 1.75 peratus.

Ekonomi global terus berada pada landasan pemulihan, disokong oleh pengembangan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan. Inflasi juga telah meningkat dalam keadaan permintaan global yang terus kukuh, gangguan rantaian bekalan, harga komoditi yang lebih tinggi dan kekurangan tenaga kerja. Walau bagaimanapun, prospek pertumbuhan global akan disokong oleh kemajuan selanjutnya liputan pemberian vaksin dan pelonggaran langkah-langkah pembendungan. Dalam beberapa ekonomi utama, dasar fiskal dan monetari yang besar akan terus menyokong momentum pemulihan. Secara keseluruhan, imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan global terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan. Hal ini disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian berhubung dengan munculnya varian yang membimbangkan, risiko gangguan rantaian bekalan global yang berlanjutan dan potensi risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara berikutan pelarasan dasar monetari ekonomi utama.

Bagi Malaysia, kegiatan ekonomi menjadi lemah pada suku ketiga berikutan pelaksanaan langkah-langkah pembendungan di seluruh negara bagi mengekang penularan semula kes COVID-19. Walau bagaimanapun, selaras dengan pelonggaran sekatan, penunjuk berfrekuensi tinggi yang terkini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi telah pulih daripada paras terendah pada bulan Julai. Menjelang tahun 2022, momentum pertumbuhan dijangka semakin baik, disokong oleh pengembangan permintaan global, perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi sejajar dengan penyambungan semula kegiatan ekonomi dan sokongan dasar yang berterusan. Walau bagaimanapun, prospek risiko terhadap pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan dalam negeri. Hal ini termasuk pemulihan pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan akibat kesan varian baharu COVID-19 yang membimbangkan.

Sejajar dengan penilaian sebelum ini, purata inflasi keseluruhan dijangka berada dalam unjuran julat antara 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2021, setelah mencatatkan purata sebanyak 2.3% sejak awal tahun hingga kini. Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata bawah 1.0% pada tahun 2021. Menjelang tahun 2022, inflasi keseluruhan diunjurkan kekal sederhana. Apabila kegiatan ekonomi kembali normal, inflasi teras dijangka meningkat sedikit namun masih rendah berikutan keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja. Walau bagaimanapun, prospek terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global dan beberapa risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan.

MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif. Selain itu, langkah-langkah fiskal dan monetari akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi. Berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. Bank Negara Malaysia terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.

Mesyuarat ini juga meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk tahun 2022. Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, mesyuarat MPC akan diadakan sebanyak enam kali setahun. Mesyuarat akan diadakan selama dua hari dan Pernyataan Dasar Monetari diumumkan pada jam 3.00 petang pada hari kedua mesyuarat MPC.

Jadual Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari bagi Tahun 2022

Bil. Mesyuarat MPC

Tarikh

Pertama

19 dan 20 Januari 2022 (Rabu dan Khamis)

Kedua

2 dan 3 Mac 2022 (Rabu dan Khamis)

Ketiga

10 dan 11 Mei 2022 (Selasa dan Rabu)

Keempat

5 dan 6 Julai 2022 (Selasa dan Rabu)

Kelima

7 dan 8 September 2022 (Rabu dan Khamis)

Keenam

2 dan 3 November 2022 (Rabu dan Khamis)

 


Bank Negara Malaysia
03 November 2021

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?