Pernyataan Dasar Monetari

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Rabu, 5 September 2018
05 Sep 2018 Siaran Akhbar

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.
 
Ekonomi dunia terus berkembang walaupun prestasi pertumbuhan adalah berbeza merentas negara dan terdapat tanda-tanda momentum pertumbuhan yang semakin perlahan. Di negara ekonomi maju, pertumbuhan terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang kukuh dan sokongan dasar-dasar yang dilaksanakan. Di Asia, pertumbuhan akan disokong oleh aktiviti dalam negeri dan permintaan luaran yang mampan. Sungguhpun prestasi semasa ekonomi global adalah mampan, risiko terhadap pertumbuhan telah meningkat. Ketegangan perdagangan terus menjadi punca utama terhadap risiko pertumbuhan yang lebih perlahan. Volatiliti dalam pasaran kewangan antarabangsa yang semakin ketara dan langkah mengembalikan dasar monetari ke tahap yang wajar oleh negara-negara maju boleh mengakibatkan aliran keluar modal yang berterusan dan pelarasan pasaran kewangan dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun. 
 
Bagi Malaysia, gangguan bekalan yang dihadapi sektor perlombongan dan pertanian telah menyebabkan pertumbuhan ekonomi yang lebih sederhana pada suku kedua 2018. Dari segi permintaan, pertumbuhan terus disokong oleh kegiatan sektor swasta serta rangsangan tambahan daripada eksport bersih. Pada masa akan datang, penggunaan swasta, yang telah dirangsang oleh langkah pelepasan cukai, akan terus didorong oleh kenaikan yang berterusan dalam upah dan guna tenaga. Aktiviti pelaburan dijangka didorong oleh pengembangan berterusan kapasiti pengeluaran dalam sektor-sektor utama, khususnya industri berorientasikan eksport. Hal ini didorong oleh permintaan yang menggalakkan serta usaha-usaha meningkatkan automasi. Perbelanjaan sektor awam, bagaimanapun, dijangka memberikan kesan terhadap pertumbuhan, sehubungan dengan langkah Kerajaan untuk menyusun semula perbelanjaannya mengikut keutamaan. Sektor luaran akan terus mendapat manfaat daripada momentum pertumbuhan global yang mampan. Dalam masa terdekat, ekonomi negara berdepan risiko pertumbuhan yang lebih perlahan akibat daripada ketegangan perdagangan yang semakin ketara, prestasi lemah sektor perlombongan dan pertanian yang berlarutan serta ketidakpastian berhubung dengan beberapa dasar dalam negeri. Namun, secara keseluruhan, ekonomi Malaysia diunjurkan terus berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh.
 
Inflasi keseluruhan mencatat kadar 0.9% pada bulan Julai 2018. Pada bulan-bulan seterusnya tahun ini dan tahun 2019, inflasi keseluruhan dijangka meningkat sedikit setelah mengambil kira kesan pelaksanaan langkah-langkah dasar terhadap faktor-faktor kos dalam negeri. Namun, kesan pelaksanaan dasar cukai penggunaan baru-baru ini ke atas inflasi keseluruhan adalah bersifat sementara dan akan luput menjelang akhir tahun 2019. Inflasi asas pula dijangka kekal stabil secara relatif.
 
Sejajar dengan perkembangan dalam ekonomi serantau, pasaran kewangan negara terus mencatat aliran keluar portfolio bukan pemastautin berikutan perkembangan global semasa. Meskipun begitu, pasaran kewangan domestik terus berdaya tahan dengan keadaan kewangan dan monetari domestik terus menyokong pertumbuhan ekonomi. Sektor kewangan kekal teguh, dengan institusi kewangan terus beroperasi denganberlandaskan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh. Selain itu, asas-asas ekonomi dalam negeri terus mantap, seperti ditunjukkan oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kadar pengangguran yang rendah dan lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran. Operasi monetari Bank Negara Malaysia akan terus memastikan supaya terdapat mudah tunai yang mencukupi untuk menyokong pasaran wang dan pasaran pertukaran asing serta aktiviti pengantaraan berfungsi dengan teratur.
 
Pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif dasar monetari adalah sejajar dengan pendirian dasar yang ditetapkan. MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.


Bank Negara Malaysia
05 September 2018

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?