Pernyataan Dasar Monetari
Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.
Momentum pertumbuhan global menunjukkan tanda-tanda menjadi sederhana dalam persekitaran pertumbuhan yang perlahan dalam kebanyakan ekonomi maju utama dan ekonomi sedang pesat membangun. Pada masa hadapan, ketegangan perdagangan yang tidak dapat diselesaikan akan menjadi sumber utama risiko, yang mempengaruhi aktiviti perdagangan dan pelaburan global. Keadaan kewangan global yang semakin ketat dan ketidakpastian politik dan dasar yang meningkat mungkin membawa kepada pelarasan pasaran kewangan, dan seterusnya menjejaskan prospek keseluruhan.
Ekonomi Malaysia meningkat pada kadar yang lebih sederhana sebanyak 4.7% pada tahun 2018. Pada tahun 2019, pertumbuhan dijangka mampan dengan sokongan daripada perbelanjaan sektor swasta yang berterusan. Keadaan pasaran pekerja dan pengembangan kapasiti yang stabil dalam sektor utama akan terus memacu perbelanjaan isi rumah dan pelaburan modal. Sokongan daripada sektor luaran dijangka menjadi sederhana, selaras dengan momentum pertumbuhan global yang juga sederhana. Secara keseluruhan, unjuran pertumbuhan asas ekonomi Malaysia kekal pada landasan yang stabil. Walau bagaimanapun, prospek pertumbuhan mungkin terjejas berikutan ketegangan perdagangan yang tidak dapat diselesaikan, ketidakpastian yang ketara dalam persekitaran global dan dalam negeri serta kelemahan yang berlanjutan dalam sektor berkaitan komoditi.
Inflasi keseluruhan mencatatkan kadar -0.7% pada bulan Januari 2019, disebabkan terutamanya oleh inflasi pengangkutan yang negatif pada -7.8% berikutan harga minyak dunia yang lebih rendah. Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras[1] , kekal stabil pada 1.5% pada bulan Januari 2019, mencerminkan keadaan permintaan yang mampan. Dalam tempoh terdekat, inflasi dijangka terus rendah disebabkan terutamanya oleh pelaksanaan langkah-langkah dasar. Langkah-langkah ini termasuk penetapan harga siling yang lebih rendah bagi harga runcit bahan api domestik sehingga pertengahan tahun 2019 dan kesan perubahan dalam cukai penggunaan terhadap inflasi keseluruhan. Bagi seluruh tahun 2019, purata inflasi keseluruhan pada amnya dijangka stabil berbanding dengan tahun 2018. Trajektori inflasi keseluruhan akan terus bergantung pada harga minyak dunia. Inflasi asas dijangka mampan, disokong oleh pengembangan aktiviti ekonomi yang berterusan dan ketiadaan tekanan permintaan yang besar.
Pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif dasar monetari adalah sejajar dengan pendirian dasar yang ditetapkan. Menyedari terdapatnya risiko pertumbuhan ekonomi dan kewangan yang lebih rendah, MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan harganya ditadbir. Ia juga tidak mengambil kira anggaran kesan langsung daripada perubahan dasar cukai penggunaan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.