Perpindahan kepada kad pembayaran berasaskan PIN untuk transaksi pembayaran yang lebih selamat
Baru-baru ini terdapat laporan media1 dan paparan di media sosial yang mendakwa bahawa pemegang kad akan dikenakan caj dan tidak akan dapat menggunakan kad ATM dan kad debit mereka jika tidak menggantikan kad tersebut dengan kad berasaskan PIN yang baru sebelum tarikh yang ditetapkan. Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia (BNM) ingin menjelaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar.
BNM ingin mengulangi mesej kami sebelum ini bahawa orang ramai boleh menggantikan kad ATM dan kad debit di bank mereka secara percuma. Di samping itu, orang ramai yang tidak menggantikan kad ATM dan kad debit mereka pada tarikh yang ditetapkan oleh bank mereka, masih boleh terus menggunakan kad mereka yang sedia ada di mesin ATM. Berhubung dengan penggunaan kad ATM dan kad debit untuk transaksi pembelian di terminal semasa jualan (point-of-sale terminal), bank dikehendaki memberikan notis yang mencukupi dan tempoh masa yang munasabah untuk penukaran kad sebelum menamatkan fungsi kad yang sedia ada untuk transaksi pembelian.
Butiran lanjut mengenai perpindahan kepada kad berasaskan PIN boleh didapati di laman web BNM di sini. Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi BNM melalui saluran berikut:
- BNMLINK, Block D, Bank Negara Malaysia, Jalan Dato’ Onn, 50480 Kuala Lumpur
- BNMTELELINK
- Tel: 1-300-88-5465
- Fax: 03-2174 1515
- Email: [email protected]
- SMS: 15888
1Laporan Borneo Post bertarikh 16 Disember 2016 dan bertajuk “Members of the public face long queues to change cards”
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.