Persidangan Bersama Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) Nasional 2019

Embargo: Untuk siaran segera
29 Ogo 2019 Siaran Akhbar

Hari ini, Bank Negara Malaysia dan Badan Peguam Malaysia menganjurkan Persidangan Bersama Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) Kebangsaan 2019 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Persidangan yang bertemakan"Meningkatkan Keberkesanan Pematuhan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT): Risiko dan Cabaran" ini bertujuan untuk memperluas pemahaman sektor Perniagaan dan Profesion Bukan Kewangan yang Ditentukan (DNFBP) termasuklah sektor undang-undang mengenai risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan. Persidangan bersama ini juga bertujuan untuk mengukuhkan budaya pematuhan terhadap keperluan AML/CFT dalam kalangan institusi pelapor melalui perbincangan menerusi pelbagai perspektif daripada pengawalseliaan, penyeliaan, penguatkuasaan undang-undang serta industri.

Dalam ucapan pembukaannya, Dato' Abdul Fareed Abdul Gafoor, Presiden Badan Peguam Malaysia menekankan peranan profesional perundangan dalam mencegah kegiatan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, memandangkan peguam terdedah kepada risiko yang lebih tinggi, serta hubung kait antara kewajipan peguam di bawah rejim AML/CFT dan tugasan  profesional mereka. Dato' Abdul Fareed turut mengingatkan, “Peguam memainkan peranan yang penting sebagai pemerhati dalam mengesan serta mengetengahkansebarang kegiatan jenayah pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan. Tugas memupuk budaya kesedaran, berwaspadadan berhati-hati dalam menilai situasi yang mencurigakan secara berkesanmerupakan tanggungjawab kita bersama.”
Dalam ucaptama beliau, Encik Adnan Zaylani Mohamad Zahid, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia menekankan kesan salah laku seseorang peguam ketika berurusan dengan pelanggan, mungkin akan menjejaskan reputasi dan keyakinan bukan hanya terhadap peguam atau firma yang terlibat malah terhadap sektor perundangan secara keseluruhannya. Encik Adnan turut menggesa para peguam dan sektor DNFBP untuk mengambil langkah-langkah kawalan AML/CFT yang berkesan bagi melindungi diri mereka daripada dimanipulasi oleh penjenayah untuk aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan. Beliau turut mengingatkan institusi pelapor DNFBP bahawa bermula tahun 2020, Bank Negara Malaysia akan meningkatkan tindakan pencegahan, termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang sesuai terhadap DNFBP di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan.

Persidangan ini berjaya menarik lebih 450 peserta daripada sektor perundangan dan DNFBP, pihak berkuasa pelesenan, persatuan dan badan pengawalseliaan kendiri. Melalui empat sesi perbincangan panel yang melibatkan 14 orang ahli panel terkemuka, persidangan ini telah menyediakan perkongsian pandangan dan pengalaman dalam melaksanakan program pematuhan  AML/CFT dan tanggungjawab melapor serta menguatkuasakan AMLA. Para peserta berpeluang memahami dengan lebih mendalam tentang pendekatan berasaskan risiko untuk pelaksanaan keperluan dan amalan terbaik AML/CFT dengan berkesan daripada pakar dan perwakilan institusi kewangan. Para seserta turut meraih manfaat daripada perkongsian yang disampaikan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang tentang kes-kes pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan yang melibatkan manipulasi sektor undang-undang dan DNFBP lain yang boleh meningkatkan ML/TF. Melalui sesi tersebut, para peserta juga dapat mengetahui penunjuk-penunjuk dan trend yang muncul dalam jenayah ML/TF.
 
“Comply to Protect”


Bank Negara Malaysia
29 Ogos 2019

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?