Persidangan Industri Kewangan 2009
Bank Negara Malaysia telah menganjurkan Persidangan yang berlangsung selama satu setengah hari bagi pemimpin-pemimpin industri perbankan, insurans dan takaful pada 17 dan 18 November 2009. Persidangan ini menyediakan platform bagi dialog peringkat tinggi dengan industri mengenai perkembangan ekonomi dan kewangan sedunia, termasuk reformasi pengawalseliaan antarabangsa dan implikasinya terhadap industri domestik.
Dalam ucaptamanya, Gabenor, Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, memaklumkan industri bahawa Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang baharu akan berkuat kuasa pada 25 November 2009 bagi menangani cabaran baharu yang dihadapi Bank dalam memainkan peranannya memelihara kestabilan kewangan. Ini merangkumi kuasa yang lebih menyeluruh bagi rangka kerja pengawalseliaan, pengawasan dan pengurusan krisis kewangan termasuk menangani penyelesaian institusi kewangan secara teratur serta penyelarasan yang efektif bukan sahaja meliputi sektor tetapi juga merentas sempadan. Gabenor juga mengumumkan bahawa undang-undang sedia ada bagi mengawal selia institusi-institusi kewangan dan pengantara kewangan sedang dikaji semula, sementara pelan induk sektor kewangan yang baharu bagi tempoh sepuluh tahun akan datang kini sedang dirangka. Pelan induk kewangan yang baharu ini akan meletakkan sektor kewangan sebagai pemboleh dan pemangkin utama bagi fasa seterusnya dalam transformasi ekonomi dan kewangan Malaysia.
Dalam sektor insurans, Gabenor menyatakan bahawa cadangan bagi pelaksanaan skim baharu untuk perlindungan asas insurans motor yang juga akan mengambil kira perkembangan semasa amalan pengunderaitan dan tuntutan motor akan dimuktamadkan dan dilaksanakan pada separuh kedua tahun 2010. Skim baharu ini akan membantu mengatasi gangguan harga semasa, di samping menggalakkan penyampaian perkhidmatan insurans motor dengan lebih cekap.
Gabenor juga menekankan bahawa memandangkan persekitaran masa kini yang amat dinamik, peranan ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan institusi kewangan dalam memastikan pengawasan yang berkesan terhadap kegiatan mengambil risiko adalah sangat penting. Ini perlu disokong oleh usaha meningkatkan keupayaan ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan, serta mengukuhkan proses, sistem dan struktur dalaman secara berterusan bagi memantau dan mengawal risiko dengan berkesan. Gabenor juga menegaskan bahawa persekitaran ini akan mendorong kajian semula secara berkala dan penambahbaikan rangka kerja pengawalseliaan yang berterusan bagi memastikan rangka kerja ini terus teguh menghadapi perkembangan dalam sistem kewangan.
Persidangan ini dihadiri tokoh-tokoh terkemuka daripada komuniti pengawalseliaan dan kewangan antarabangsa. Encik Liu Mingkang, Pengerusi China Banking Regulatory Commission yang juga ahli jawatankuasa Basel Committee on Banking Supervision dan Financial Stability Board, menyampaikan ucapan khas mengenai reformasi pengawalseliaan antarabangsa dan perkembangan ekonomi dan kewangan di Republik Rakyat China. Tokoh lain termasuk wakil daripada Federal Reserve Bank of New York dan Institute of International Finance.
Perbincangan industri semasa Persidangan tersebut bertumpu pada beberapa tema utama berkaitan dengan perkembangan kewangan global termasuk keperluan untuk memperkukuh keupayaan pengurusan risiko dalam menghadapi sistem kewangan yang semakin kompleks dan semakin berhubung kait, keperluan untuk menyelaraskan struktur insentif dengan lebih baik, penekanan yang lebih besar pada ketelusan produk serta keperluan untuk tindak balas yang seimbang terhadap risiko yang dihadapi sistem kewangan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.