Persidangan Kewangan Masa Depan Pertama Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia hari ini menganjurkan persidangan dengan institusi kewangan yang bertemakan kewangan masa hadapan di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Persidangan ini mengambil pendekatan yang inovatif dan lebih serta sama (participative) untuk membincangkan hala tuju masa hadapan kewangan di Malaysia.
Persidangan ini dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi institusi-institusi kewangan, syarikat teknologi kewangan, serta beberapa entiti sokongan yang penting dalam sektor kewangan.
Ia diadakan pada pertengahan tempoh sepuluh tahun Pelan Sektor Kewangan bagi mencerminkan kemajuan serta memperteguh komitmen untuk pembangunan sektor kewangan yang berterusan, di samping menyesuaikan semula strategi baharu untuk mempercepat momentum ke arah pencapaian matlamat yang ditetapkan dalam persekitaran domestik dan global yang sentiasa berubah.
Teknologi kewangan (fintech) juga diketengahkan sebagai tema utama, mempamerkan pelbagai penyelesaian fintech serta memudahkan pertukaran perspektif mengenai perkembangan utama dalam bidang fintech dan implikasinya terhadap industri.
Dalam ucaptamanya, Datuk Muhammad bin Ibrahim, Gabenor Bank Negara Malaysia menyorot pencapaian utama yang telah dilaksanakan di bawah Pelan Sektor Kewangan dan menekankan peranan penting sektor kewangan untuk membiayai inovasi dan menyokong perniagaan dalam ekonomi baharu pada masa hadapan. Gabenor turut menekankan strategi yang menyokong inovasi hendaklah menjadi asas kukuh dalam perenggu minda (mindset), yang mengambil kira kepentingan orang ramai dan khususnya kepentingan pelanggan.
Empat kumpulan tumpuan (focus groups) industri yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif institusi kewangan telah dibentuk bagi membincangkan dan mengenal pasti penyelesaian bagi isu yang meliputi bidang rangkuman kewangan, pemerkasaan komuniti, fintech serta peningkatan tahap penembusan insurans dan takaful dalam kalangan penduduk Malaysia.
Cadangan untuk tindakan bersama oleh industri telah dibentangkan oleh kumpulan tumpuan semasa persidangan ini. Ini termasuk: (i) pembangunan repositori data dengan keupayaan analisis terkini untuk meningkatkan pemahaman berhubung dengan keperluan kewangan masyarakat, terutamanya untuk golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan; (ii) platform industri untuk membiayai perniagaan yang disokong teknologi; (iii) memesatkan proses kenali-pelanggan-anda (know-your-customer, KYC) secara digital, seperti biometrik, untuk interaksi pengguna dengan institusi kewangan; dan (iv) membangunkan pangkalan data insurans/ takaful terpusat supaya proses pengunderaitan dan tuntutan menjadi lebih cekap.
Akhir sekali, satu rangka kerja usaha sama secara kolektif yang lebih kukuh dan perkongsian sumber dalam industri kewangan turut dicadangkan sebagai pendorong utama ke arah usaha tanggungjawab sosial korporat yang lebih berstruktur dan terselaras terhadap pemerkasaan komuniti, dengan tumpuan khas diberikan pada kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.